Perkasa sektor pertanian negara

Salahuddin (dua dari kiri) melawat sawah sempadan di Tanjong Karang, Kuala Selangor.
Salahuddin (dua dari kiri) melawat sawah sempadan di Tanjong Karang, Kuala Selangor.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengumuman Belanjawan 2020 pastinya dinanti-nantikan setiap lapisan masyarakat di negara ini, tidak kira mereka adalah pemain industri utama, kakitangan awam dan swasta atau golongan petani serta nelayan untuk mendengar berita baik daripada kerajaan.

Setiap menteri yang mewakili kementerian turut mengharapkan peningkatan peruntukan berbanding tahun sebelumnya untuk digunakan atau diagihkan kepada golongan sasar secara menyeluruh.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub gembira apabila peruntukan daripada kerajaan untuk kementeriannya meningkat kepada RM4.9 bilion berbanding RM4.4 bilion pada 2019.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat kelmarin berkata, peningkatan peruntukan itu akan memberikan fokus khusus kepada meningkatkan pendapatan bagi pengusaha pertanian.

Ia dapat dilihat menerusi peningkatan peruntukan input padi sebanyak RM855 juta berbanding RM796 juta pada tahun sebelumnya bagi meningkatkan hasil di bawah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) dan Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP).

Selain itu subsidi padi bukit atau huma juga akan diteruskan pada tahun depan dan untuk membantu petani yang terkesan akibat bencana alam, kerajaan akan mewujudkan Dana Bantuan Bencana sebanyak RM100 juta di mana pinjaman disediakan pada kadar faedah empat peratus.

Apa yang menarik tentang pertanian pada belanjawan kali ini ialah menjadikan padi pulut sebagai produk perdana di Pulau Langkawi dan bagi menyokong inisiatif itu, kerajaan memperuntukkan RM30 juta yang akan memanfaatkan 1,200 petani.

Tidak ketinggalan, nelayan di negara ini akan menikmati peningkatan Elaun Sara Hidup Nelayan yang dinaikkan daripada RM200 pada Belanjawan 2019 kepada RM250 sebulan pada 2020 dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM152 juta.

Artikel Berkaitan:

RM150 juta galak program integrasi tanaman

Dalam usaha membantu petani, nelayan dan pekebun kecil mempelbagaikan sumber pendapatan, kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM150 juta sebagai galakan program integrasi tanaman seperti cili, nanas, kelapa, tembikai dan buluh.

Buluh merupakan suatu kekayaan baharu negara dan sudah pasti petani yang mengusahakannya mendapat keuntungan.

Mendepani revolusi industri 4.0, kerajaan dilihat berusaha menjadikan bidang pertanian turut bergerak seiringan.

Salahuddin (kiri) mendengar penerangan daripada peserta projek kelompok bimbingan Jabatan Pertanian Malaysia (DOA) di Sepang, Selangor.
Salahuddin (kiri) mendengar penerangan daripada peserta projek kelompok bimbingan Jabatan Pertanian Malaysia (DOA) di Sepang, Selangor.

Sebanyak RM43 juta akan diperuntukkan ke arah pembangunan Industri Pertanian 4.0 bagi membangunkan baka yang berkualiti dan berproduktiviti tinggi.

Salahuddin yang ditemui selepas pembentangan Belanjawan 2020 kelmarin berkata, pihaknya yakin peruntukan yang diberikan oleh kerajaan bersifat menyeluruh dan sampai kepada golongan sasar.

“Ini satu berita gembira dan akan memberi manfaat kepada golongan petani di negara ini. Saya berjanji akan memastikan tidak berlaku sebarang ketirisan dalam pengagihan kepada mereka yang berhak,” katanya.