Individu, pemain industri pelancongan perlu main peranan

Muhammad Bakhtiar (dua dari kanan kanan) ketika perasmian Kempen Melawat Malaysia 2020 peringkat negeri Pulau Pinang di sini malam tadi. - Foto Bernama
Muhammad Bakhtiar (dua dari kanan kanan) ketika perasmian Kempen Melawat Malaysia 2020 peringkat negeri Pulau Pinang di sini malam tadi. - Foto Bernama
A
A
A

GEORGE TOWN - Setiap individu dan pemain industri perlu memainkan peranan untuk mencapai misi dan visi menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama para pelancong dalam usaha merancakkan industri pelancongan.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, dengan perkembangan positif yang dapat dilihat dalam industri pelancongan, Kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020) adalah misi nasional yang perlu sama-sama dijayakan setiap rakyat Malaysia.

"Dengan penglibatan dan bantuan daripada pihak swasta kerajaan amat yakin bahawa sasaran ditetapkan iaitu 30 juta pelancong dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM100 bilion akan dapat dicapai dengan mudah," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kempen Melawat Malaysia 2020 Peringkat Pulau Pinang di sini malam tadi.

Menurutnya, untuk mencapai sasaran itu beliau amat optimis dan berharap para pemain industri dan orang perseorangan akan terus meningkatkan tahap pengalaman percutian dengan memastikan perkhidmatan berada pada aras yang tinggi.

"Kita perlu memastikan perkhidmatan turut meliputi perkara yang akan dilihat terlebih dahulu oleh pelancong seperti kebersihan dan kenderaan.

"Soal keselamatan, kebersihan dan sentuhan peribadi ia penting dapat diberikan kepada pelancong asing dan apa yang boleh diingati pelancong tentang Malaysia dan kenangan yang akan dibawa pulang mereka," katanya.

Katanya, contohnya di Pulau Pinang, penting untuk pihak industri terlibat keluar daripada kebiasaan dan terus mencari kuasa ‘x-factor’ yang boleh membezakan Pulau Pinang dengan negeri-negeri lain di Malaysia sekali gus menarik pelancong untuk berkunjung ke Pulau Mutiara itu.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai sokongan terhadap kempen Tahun Melawat Malaysia 2020, kementerian mengalu-alukan sesiapa sahaja yang berminat untuk menggunakan logo dan lagu-lagu kempen TMM 2020 dan menggunakannya pada acara-acara berkaitan supaya lebih ramai yang peka atas kempen yang dilakukan," katanya.

Sementara itu, Muhammad Bakhtiar berkata, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya berasa gembira dengan pengumuman Belanjawan 2020 oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Jumaat lalu.

"Peruntukan yang diberikan akan kita guna sebaiknya antaranya menaik taraf beberapa destinasi pelancongan, membangunkan infrastruktur baharu dan menaik taraf infrastruktur untuk sektor pelancongan," katanya.

Belanjawan 2020 yang dibentang Jumaat lepas menyaksikan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya memperoleh peruntukan sebanyak RM1.1 bilion untuk menjayakan TMM 2020 yang mana kerajaan akan menganjurkan Tahun Pelancongan Kesihatan Malaysia 2020 untuk mengisi program TMM 2020 bagi perkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan perubatan. - Bernama