Lelaki jatuh cerun ketika cuba selamatkan rakan sesat

Mangsa ditemui dalam keadaan lesu berjaya dibawa turun oleh pasukan bomba. Foto: Bomba
Mangsa ditemui dalam keadaan lesu berjaya dibawa turun oleh pasukan bomba. Foto: Bomba
A
A
A

LUMUT - Hasrat seorang lelaki untuk mencari lima rakannya yang tersesat bertukar sebaliknya apabila dia terjatuh cerun sejauh 3 meter ketika mendaki Bukit 300, Teluk Batik di sini semalam.

Mangsa mendaki bukit secara berasingan selepas dihubungi lima rakannya yang tersesat kira-kira jam 6.30 petang untuk meminta bantuan.

Difahamkan mangsa terjatuh ketika melalui jalan pintas bagi mendapatkan rakan-rakannya itu sebelum menghubungi pihak bomba bagi mendapatkan bantuan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seri Manjung, Penolong Kanan Penguasa Bomba Shuib Idris berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.45 malam sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Bantuan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan turut tiba untuk tindakan selanjutnya. Anggota dibahagikan kepada dua kumpulan sehingga menemui mangsa pada jarak 400 meter dari kaki bukit.

“Mangsa ditemui pada 10.55 malam dalam keadaan lesu namun tidak cedera dan hanya calar di badan sahaja akibat terjatuh,” katanya.

Pasukan bomba mendengar taklimat pada operasi mencari dan menyelamat mangsa yang jatuh cerun di Lumut semalam. - Foto Ihsan bomba
Pasukan bomba mendengar taklimat pada operasi mencari dan menyelamat mangsa yang jatuh cerun di Lumut semalam. - Foto Ihsan bomba

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, mangsa berjaya dibawa keluar sejam kemudian dan diserahkan kepada pihak hospital untuk rawatan.

“Bagaimanapun, rakan mangsa berusia lingkungan 20-an yang sesat itu sebelum itu berjaya turun sendiri dan selamat.

“Operasi tamat sepenuhnya pada 11.55 malam,” katanya.