Yin dan yang dalam Islam

A
A

DALAM falsafah Cina, frasa serta simbol yang mewakili yin dan yang mengandungi beberapa makna dan tafsiran. Dalam yin terdapat yang (dalam gelap ada terang), begitu juga sebaliknya. Yin dan yang juga lambang bagi ajaran falsafah Taiosme yang diasaskan Lao Tzu.

Konsep yin dan yang menggambarkan bahawa segala sesuatu dalam alam semesta mempunyai aspek yang berlawanan. Ada putih dan ada yang hitam. Ada baik, ada buruk. Ada sejuk, ada panas. Ada siang, ada malam.

Begitu juga ada syurga dan ada neraka. Konsep yin dan yang digunakan untuk menggambarkan bagaimana pertentangan atau kuasa-kuasa yang bertentangan adalah mutlak dan saling bergantung antara satu sama lain secara semula jadi serta saling berkaitan.

Yin dan yang digambarkan seperti telur yang bahagian kuning dan putihnya terpisah. Warna hitam dan putih yang digunakan untuk simbol yin dan yang membezakan antara keduanya. Yang melambangkan syurga, matahari, terang, kekuatan dan tenaga positif. Yin pula melambangkan tanah, bulan, kegelapan, wanita, dingin, lembut, mati, angka ganjil dan sesuatu yang negatif.

Yin dan yang walaupun sentiasa bertentangan antara satu sama lain namun bersikap saling melengkapi. Bukannya menentang untuk membentuk satu sistem yang dinamik. Sebagai contoh, bayang tidak boleh wujud tanpa cahaya.

Begitu juga berbezanya lelaki dan wanita, namun perlu bersama-sama bagi mewujudkan generasi baharu.

Konsep itu turut diterangkan dalam al-Quran seperti firman ALLAH yang berikut: "Mahasuci (ALLAH) yang telah menciptakan semuanya berpasang-pasangan, baik daripada apa yang telah ditumbuhkan oleh bumi dan daripada diri mereka sendiri maupun daripada apa yang tidak mereka ketahui.

Dan suatu tanda kebesaran ALLAH SWT bagi mereka adalah malam, kami tanggalkan siang dari (malam) itu, maka seketika itu mereka (berada dalam) kegelapan." (surah Yasin: ayat 36-37)

ALLAH SWT turut menjelaskan kepada kita bahawa segala sesuatu selalu ditetapkan secara tawazun atau seimbang iaitu dengan diciptakan setiap sesuatu secara berpasang-pasangan.

Ada dingin ada juga panas, ada siang ada juga malam, ada musim hujan ada musim kemarau dan lain-lain. Perhatikan juga firman ALLAH di atas yang menerangkan kepada kita tentang alam semesta (bumi) dan hubungannya dengan tubuh kita sendiri yang jelas sekali saling berkait erat.

Konsep yin dan yang menumpukan pada keadaan yang seimbang. Sebagai umat Islam, kita selalu berhadapan masalah ketidakseimbangan dalam menangani kehidupan dunia dan akhirat. Kita tidak disuruh untuk mengetepikan dunia atas alasan mencari akhirat.

Pada masa sama, kita juga tidak boleh mengabaikan urusan akhirat semata-mata untuk dunia.

Sebagaimana yin dan yang, dunia dan akhirat juga perlu seimbang. Ini bukan bermaksud kita ambil dunia 50 peratus dan akhirat 50 peratus, bahkan kita perlu memanfaatkan dunia secara keseluruhan iaitu 100 peratus untuk kebahagian dan kejayaan di akhirat juga.

Dalam erti kata lain, kita awasi kehidupan dan kenikmatan dunia dengan bermatlamatkan akhirat serta mencari keredaan ALLAH SWT.

Sebagai contoh, kita bekerja (urusan dunia) dengan niat ikhlas (urusan akhirat) dan hasil pekerjaan kita disumbangkan sebahagiannya untuk wakaf dan sedekah (urusan akhirat).

Atas sebab inilah setiap perbuatan kita di dunia ini perlu disertakan dengan matlamat akhirat kerana setiap perbuatan dengan niat adalah ibadah yang sekiranya diterima akan membantu kita untuk mendapat keredaan ALLAH.

Semoga kita semua memahami konsep yin dan yang dalam hidup ini iaitu kita perlu seimbang dalam segala segi sejauh mana kehidupan kita di dunia diguna pakai untuk manfaat akhirat. Moga seiring usia yang kian bertambah, kita semakin giat mendekatkan diri dengan ALLAH dan mencari keredaannya sebagai bekal untuk dibawa kembali kepada-Nya, insya-ALLAH.

***Dr Johari Yap ialah Naib Presiden Macma Malaysia dan Pengerusi Macma Kelantan


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.