X

Kindly register in order to view this article
!

Maruah tempatnya dalam hati

A
A

SECARA ikhlas saya katakan, saya amat berminat dengan isu maruah tetapi bukanlah dengan cara berhimpun, berpidato, menyanyi dan bersorak-sorai. Itu bukanlah maruah yang ibu bapa dan guru-guru saya ajarkan kepada saya.

Maruah berakar umbi di dalam hati, bukan disemai di bibir sahaja. Almarhum ayah saya ajar maruah dalam bahasa Melayu. Dia sebut sebagai harga diri. Maruah itu adalah daripada bahasa Arab 'muru’ah'. Kalau dalam bahasa Inggeris disebut dignity.

Ayah, seorang petani dan pemimpin politik kampung mengajar saya maruah dengan cara paling mudah ketika saya remaja di saat mana kita mula diuji oleh nafsu dan kemahuan.

Menjelang raya puasa pada suatu tahun, sepupu saya yang keluarganya lebih berada, hendak menghadiahkan saya sepasang kasut kulit terpakai. Pada tahun 1950-an, bukan mudah memiliki sepasang kasut kulit kerana untuk membeli kasut kanvas pun tidak mampu.

Banyak murid ke sekolah berkaki ayam. Apabila saya memberitahu ayah, dia kata ucap terima kasih tetapi jangan ambil. Katanya: “Kita jangan pakai atau makan apa yang kita tak mampu. Bila ada duit kita beli sendiri. Jangan ambil harta orang.”

Cara dia menggalakkan saya belajar dengan tekun pun mudah. Katanya, kalau saya tidak mahu mengekori bontot kerbau macam dia, saya wajib belajar dengan tekun.

Mengekori bontot kerbau ertinya menjadi petani dan membajak sawah menggunakan kerbau. Namun saya gemar bertani. Pada musim menanam dan menuai padi, jiwa saya lebih di sawah daripada di sekolah.

Balik saja dari sekolah di Alor Setar sejauh 25 kilometer dan selesai buat 'homework' serta membaca Utusan Melayu (jawi), saya akan ke sawah sama ada untuk menolong ayah atau memancing dan menjerat.

Saya bernasib baik dihantar ke sekolah Inggeris di bandar seawal tahun 1959. Pergaulan dengan murid pelbagai bangsa, agama dan latar belakang sosial memberi makna yang lebih luas dan jelas mengenai maruah.

Secara tidak langsung saya dan budak Melayu lain, yang majoritinya datang dari kampung, menjadi pengarak panji-panji bangsa Melayu dan agama Islam.

Apatah lagi saya bersekolah di sekolah tajaan gereja Roman Katolik bernama Saint Michael. Di sekolah bantuan kerajaan itu, tanggungjawab ke atas moral adalah di tangan pihak gereja yang diwakili oleh seorang paderi yang memakai gelaran 'Brother Supervisor' (paderi penyelia).

Jadi dari sudut jati diri dan harga diri, kita sentiasa sedar bahawa kita tidak boleh membenarkan bangsa Melayu dan agama Islam dipandang rendah.

Apatah lagi di dinding hadapan kelas terpampang salib, kawan-kawan beragama Kristian membaca doa, menyanyi 'hymn' (nasyid) dan membaca kitab Injil.

Hari ini, apabila Melayu dibesar dan disekolahkan hingga ke peringkat universiti dalam persekitaran eksklusif atau majoriti Melayu, mereka tidak ada pengalaman kepelbagaian agama dan budaya.

Orang Melayu dari latar belakang ini mudah berasa terancam, rendah diri dan sekali gus teruja apabila berdepan dengan orang bangsa lain, khususnya yang berjaya dan kaya.

Mereka tidak tahu apa hendak buat. Apabila ditawarkan rasuah dan habuan mereka terima tanpa memikirkan hal maruah dan undang-undang.

Baru-baru ini saya dijemput memberi ucapan kepada sekumpulan lebih 30 penggiat masyarat dari Malaysia dan luar negara yang sedang merangka Akta Kebebasan Bersuara.

Selain seorang peguam Melayu yang bertindak sebagai penyelaras, saya tidak nampak ada Melayu lain.

Seperti saya katakan dalam ucapan saya di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada 23 September lalu, bilangan Melayu yang besar tidak menjamin kelangsungan kalau mereka terus bersikap pasif dan berani hanya dalam kelompok sendiri.

Saya tidak ada nasihat untuk orang politik dan ahli perniagaan yang terlibat dengan isu maruah Melayu ini tetapi saya ada nasihat dan cabaran kepada empat universiti awam yang meminjamkan nama mereka kepada perhimpunan di Shah Alam Ahad lalu.

Saya jenamakannya sebagai cabaran maruah (the dignity challenge) iaitu mereka pastikan yang pelajar Melayu memonopoli senarai dekan dan lulus dengan kecermerlangan tertinggi.

Kalau tidak, berhentilah daripada bertempik dan berpekik mengenai maruah. Wallahuaklam.

Maruah berakar umbi di dalam hati, bukan disemai di bibir sahaja.

***Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!