Caroline mampu berjaya walaupun terpaksa 'belajar atas katil'

Caroline (kanan) dan Dayangku Aishah masing-masing menerima ijazah sarjana dan diploma pada Istiadat Konvokesyen UM ke-59 (sidang petang) di sini hari ini.
Caroline (kanan) dan Dayangku Aishah masing-masing menerima ijazah sarjana dan diploma pada Istiadat Konvokesyen UM ke-59 (sidang petang) di sini hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Walaupun diuji dengan pelbagai ujian hebat termasuk kehilangan bayi kembar ia sedikit pun tidak menghakis semangat seorang guru orang kurang upaya (OKU), Caroline Barnabas, 34, untuk meneruskan langkah dan menamatkan pengajian dalam bidang Sarjana Pendidikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.

Tekad serta keinginan yang tinggi untuk berjaya, membuatkan beliau yang tiada sebelah tangan terus bergerak ke depan demi mencapai impiannya.

Menceritakan perjalanan selama hampir 12 tahun yang dilalui sebelum berjaya menggenggam segulung ijazah Sarjana, Caroline berkata, ketika sedang menyambung pengajian di Universiti Malaya (UM) pada tahun 2017, beliau disahkan mengandung bayi kembar pertama menerusi kaedah persenyawaan In+Vitro (IVF).

Bagaimanapun katanya, kegembiraan itu tidak berpanjangan apabila kandungannya gagal diselamatkan ketika memasuki usia enam bulan.

"Ketika itu, memang saya dah putus asa untuk belajar kerana sedih tapi suami dan ibu beri semangat untuk saya teruskan pengajian.

"Apabila memasuki April 2018, sekali lagi saya dapat berita gembira mengatakan saya hamil anak kedua menerusi kaedah IVF tetapi ia merupakan kandungan berisiko," katanya ketika ditemui selepas Istiadat Konvokesyen UM ke-59 (sidang petang) di Dewan Tunku Canselor, UM di sini hari ini.

Rentetan itu Caroline berkata, beliau ditahan di hospital selama tiga bulan bagi memastikan beliau dan kandungannya selamat.

"Ketika itu saya manfaatkan masa 'duduk atas katil' dengan membuat kajian serta penyelidikan melalui buku dan jurnal.

Artikel Berkaitan:

"Kesusahan yang saya hadapi dalam tempoh tersebut berbaloi kerana bukan saja dapat tamatkan pengajian, malah dapat meraikannya bersama keluarga khususnya anak saya berusia enam bulan iaitu Jeremiah Solomon Rao," katanya.

Caroline berkata, beliau yang sudah 12 tahun menceburi bidang perguruan amat mencintai kerjaya tersebut dan berharap dapat menyumbang balik ilmu dipelajari khususnya untuk anak-anak di sekolah rendah.

"Ketika ini saya mengajar bahasa Inggeris di sekolah swasta dan harap akan dapat menyambung pengajian ke peringkat PhD (ijazah kedoktoran) pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, seorang lagi graduan OKU penglihatan, Dayangku Aishah Awang Taha, 26, turut menerima Diploma Pascasiswazah Pendidikan pada istiadat konvokesyen kali ini.

Anak kelahiran Bintulu, Sarawak itu berkata, beliau banyak menempuh kesukaran terutamanya ketika membuat ulangkaji dan menyiapkan tugasan namun bersyukur sentiasa dibantu rakan-rakan terdekat.

"Saya sentiasa positif dan tidak melayan perasaan putus asa untuk terus belajar.

"Saya selalu fikir, saya boleh buat dan mampu melakukan. Akhirnya ia dapat direalisasikan apabila saya berjaya menamatkan pengajian dengan jayanya," katanya.

Dayangku Aishah (kanan) dicium ibunya, Dayang Hajijah Awang Dewa, 66 selepas menerima anugerah diploma Pascasiswazah Pendidikan pada Istiadat Konvokesyen UM ke-59 hari ini
Dayangku Aishah (kanan) dicium ibunya, Dayang Hajijah Awang Dewa, 66 selepas menerima anugerah diploma Pascasiswazah Pendidikan pada Istiadat Konvokesyen UM ke-59 hari ini