Usahawan IKS mampu berkembang di luar bandar

Induk Chichuk (kiri) menunjukkan biskut bangkit keju yang diusahakan di Kampung Serkat Tanjung Piai.
Induk Chichuk (kiri) menunjukkan biskut bangkit keju yang diusahakan di Kampung Serkat Tanjung Piai.
A
A
A

PONTIAN - Lokasi luar bandar khususnya kampung-kampung di Parlimen Tanjung Piai bukan penghalang kepada penduduk setempat mengembangkan perniagaan industri kecil dan sederhana (IKS).

Tanjung Piai yang merupakan pusat pelancongan dengan jolokan 'tanah penghujung benua Asia' pastinya membantu melonjakkan pertumbuhan IKS meskipun anak muda memilih bekerja makan gaji terutama di Johor Bahru, namun masih ada yang terus tinggal mencari rezeki dengan berkecimpung dalam bidang IKS di kampung.

Bekas jurutera, Afiqah Abdul Razak, 27, tidak pernah menyesal berhenti kerja demi mengejar impian bergelar usahawan aiskrim 'homemade' yang pertama di kampungnya di Serkat Tanjung Piai dan ternyata keputusan berhenti kerja tiga tahun lalu tidak sia-sia.

"Bengkel pembuatan ais krim yang saya usahakan ini menjadi antara sebahagian daripada pakej pelancongan di Parlimen Tanjung Piai.

"Malah, ia turut membantu menjana ekonomi anak tempatan sebagai pekerja tetap dan sambilan," katanya yang turut mempunyai bengkel aiskrim dan mampu mengaji dua orang pekerja anak tempatan.

Afiqah memberitahu, dia turut menerima tempahan dari luar Pontian seperti dari Johor Bahru dan Kota Tinggi terutama bagi majlis perkahwinan.

Sementara itu, bagi pengusaha biskut bangkit keju, Induk Chichuk Daeng Hadadek, 60, berkata, pelbagai bantuan diterima dari agensi kerajaan bagi membantu meningkatkan pendapatan usahawan desa.

"Golongan wanita di Tanjung Piai banyak mengusahakan IKS pembuatan kuih muih dan biskut. Mereka bukan sahaja suri rumah tetapi sudah ada jadi usahawan berjaya.

Artikel Berkaitan:

"Saya sendiri mendapat bimbingan dari RISDA sejak empat tahun dengan bantuan peralatan diberikan seperti ketuhar," katanya.

Walaupun tempahan biskut bangkit keju mengikut musim, katanya, ia tetap menjana pendapatan sehingga boleh menggajikan dua pekerja tetap.

"Ramai pelancong yang suka melihat perusahaan IKS orang kampung, lebih-lebih lagi melibatkan pembuatan makanan.

"Peluang sebegini perlu dimanfaatkan orang kampung terutama anak-anak muda untuk berniaga dan mengusahakan IKS," katanya.

Sempena Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai, harapan turut disandarkan kepada bakal calon agar memberi perhatian khusus bagi pembangunan usahawan IKS di kawasan berkenaan.

Afiqah (kanan) memberi penerangan proses pembuatan aiskrim kepada pelancong yang datang ke Tanjung Piai.
Afiqah (kanan) memberi penerangan proses pembuatan aiskrim kepada pelancong yang datang ke Tanjung Piai.