Johor peruntuk RM850,700 naik taraf tujuh PAWE tahun ini

Dr Sahruddin (dua dari kiri) menyerahkan Anugerah Tokoh OKU Datuk Dr Shamsul Kamal Abdullah (duduk) pada Majlis Sambutan Hari Warga Emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) Peringkat Negeri Johor di Pagoh hari ini. FOTO: BERNAMA
Dr Sahruddin (dua dari kiri) menyerahkan Anugerah Tokoh OKU Datuk Dr Shamsul Kamal Abdullah (duduk) pada Majlis Sambutan Hari Warga Emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) Peringkat Negeri Johor di Pagoh hari ini. FOTO: BERNAMA
A
A
A

MUAR - Kerajaan Johor memperuntukkan RM850,700 bagi menaik taraf tujuh Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di seluruh Johor tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, kerja-kerja menaik taraf itu dilakukan menerusi Projek Pembangunan Rancangan Johor 5 Tahun (RJ5T) yang melibatkan PAWE Johor Bahru, Parit Keroma di Muar, Kluang, Kulai, Pontian, Kota Tinggi serta Parit Sulong di Batu Pahat.

"Keseluruhannya sebanyak 16 PAWE telah beroperasi di negeri ini, yang ditubuhkan bagi memastikan komuniti warga emas mempunyai tempat untuk berinteraksi dan bersosial sesama sendiri.

"Selain itu, ia menjadi pusat pembangunan warga emas bagi meningkatkan kualiti hidup golongan ini," katanya semasa berucap pada majlis sambutan Hari Warga Emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) Peringkat Negeri Johor di Pagoh, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Liow Cai Tung.

Dr Sahruddin berkata, warga emas merupakan aset penting kepada negara kerana golongan itu memiliki ilmu, pengalaman dan kepakaran yang tidak mudah dicari ganti.

"Usia emas bukanlah noktah bagi mereka untuk menyumbang tenaga mahupun bagi kita memanfaatkan golongan warga emas. Dasar Warga Emas Negara yang diluluskan pada 5 Januari 2011 merupakan komitmen kerajaan ke arah mewujudkan warga emas berdikari, dihormati serta mengoptimumkan potensi diri melalui penuaan sihat, positif, aktif serta menyokong peningkatan kesejahteraan hidup dalam pembangunan negara," katanya.

Sementara itu, Cai Tung dalam ucapannya berkata, mengikut statistik, seramai 64,849 OKU di negeri ini direkodkan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga kini.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kesemuanya melibatkan 24,026 OKU masalah fizikal, masalah mental (6,108), masalah pembelajaran (21,836), penglihatan (5,108), pendengaran (4,335), pertuturan (356) manakala pelbagai (3,080).

"Semalam rakyat Malaysia mendengar pembentangan Belanjawan 2020 oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. Kerajaan Johor amat bersyukur kerana belanjawan kali ini merupakan satu belanjawan yang mesra wanita, golongan OKU dan warga emas," katanya.

Pada majlis itu, Penasihat Persatuan Penyayang dan Kebajikan Johor Datuk Dr Shamsul Kamal Abdullah, 53, yang mengalami masalah fizikal dinobatkan Tokoh OKU Johor 2019 manakala pesara polis, Ibrahim Salleh, 88, yang menurunkan bendera Union Jack di Melaka pada 30 Ogos 1957 dan kini menetap di Segamat menerima Anugerah Khas Warga Emas Johor 2019.

PAWE Gemilang di Pontian pula menerima Anugerah PAWE Aktif 2019 manakala Majlis Perbandaran Muar menerima Anugerah Khas Majikan Prihatin (OKU) 2019. - Bernama