Draf Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah telah siap: Perkeso

Mohamed Azman
Mohamed Azman
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sudah merangka Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah dan ia akan dibentangkan Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran di Dewan Rakyat.

Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, akta tersebut kelak bertujuan untuk menjamin kesejahteraan suri rumah.

"Perkeso telah menyiapkan draf serta kerangkanya," katanya.

Menurutnya, akta tersebut berada dalam proses memperkemaskan polisi dan undang-undang di peringkat kementerian serta Pejabat Peguam Negara (AGC).

"Bilakah ia dibentangkan? Ia tertakluk kepada menteri, namun Perkeso sudah bersedia," katanya.

Menyentuh mengenai peruntukan RM20 juta disalurkan kepada Perkeso untuk memanjangkan manfaat Skim Caruman Insentif Suri (i-Suri) tahun hadapan, beliau menyifatkan ia adalah langkah tepat.

"Kami sangat mengalu-alukan peruntukan tersebut dan ia merupakan pendekatan terbaik demi memastikan kesejahteraan setiap suri rumah dalam keluarga berpendapatan rendah," katanya.

Beliau berkata, setiap rakyat wajar diberi perlindungan keselamatan biar pun bekerja sendiri.

Artikel Berkaitan:

"Golongan bekerja sendiri boleh membuat pendaftaran di pejabat Perkeso ataupun menerusi dalam talian," katanya.

Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam pembentangan Belanjawan 2020 berkata, kerajaan memutuskan menyalurkan jumlah tersebut untuk memanjangkan manfaat i-Suri.

Selain itu, Perkeso turut diberi peruntukan RM500 juta untuk pembinaan pusat rehabilitasi di Perak yang bakal mengguna pakai teknologi robotik dalam rawatan dan membantu pesakit kurang upaya.

"Pembinaan pusat rehabilitasi ini sebagai penambahan pusat sedia ada yang terletak di Melaka," katanya.