Belanjawan 2020: KWSP bekerjasama dengan kementerian berkaitan

KWSP -Foto Bernama
KWSP -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan bekerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan bagi melaksanakan program yang disenaraikan dalam Belanjawan 2020, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tunku Alizakri Alias.

Beliau berkata, pelaksanaan pelbagai program berkaitan KWSP merupakan tanggungjawab yang besar dan ia satu keistimewaan kepada badan itu dalam memainkan peranan mewujudkan Malaysia yang lebih cemerlang.

“Kami akan bekerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan untuk melaksanakan program berkenaan selain membuat pengumuman mengenai perkara itu pada masa yang sesuai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Belanjawan 2020 mengambil kira perubahan pantas demografi, perubahan definisi kerja dan persekitaran kerja serta isu berkaitan kesejahteraan sosial.

"KWSP gembira beberapa perkara berkaitan sosial yang sering dibangkitkan didengari oleh kerajaan dan dinyatakan dalam belanjawan dengan penyelesaian yang unik kepada isu unik berkaitan kesejahteraan rakyat Malaysia," katanya.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat semalam berkata, kerajaan akan memperkenalkan inisiatif #MalaysiaKerja bagi mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia terutamanya golongan belia dan wanita.

Guan Eng berkata, inisiatif yang akan dikendalikan oleh KWSP itu bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing berkemahiran rendah dan ia dijangka mewujudkan tambahan 350,000 pekerjaan untuk rakyat Malaysia dalam tempoh lima tahun.

Kerajaan juga mencadangkan kategori pengeluaran baharu KWSP untuk rawatan kesuburan seperti persenyawaan luar rahim atau ‘in-vitro fertilisation’ (IVF) serta pelepasan cukai pendapatan sehingga RM6,000 ke atas perbelanjaan rawatan perubatan penyakit serius diperluas, merangkumi rawatan kesuburan.

Artikel Berkaitan:

Berhubung perkara itu, Alizakri berkata, KWSP akan mewujudkan opsyen baharu di bawah akaun 2 bagi pengeluaran untuk rawatan subfertiliti. - Bernama