Unit undang-undang UTM dan KPM teliti pemansuhan yuran MJIIT

UTM
UTM
A
A
A

SHAH ALAM - Unit undang-undang Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Kementerian Pendidikan (KPM) sedang meneliti tuntutan pemansuhan yuran pengajian Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT) dan pemulangan bayaran yuran yang dibangkitkan sekumpulan pelajar pusat pendidikan berkenaan.

Pejabat Hal Ehwal Korporat UTM melalui kenyataan berkata, pihaknya komited untuk menyelesaikan kemelut tersebut demi kebaikan bersama.

Katanya, beberapa siri perbincangan juga telah diadakan dengan beberapa pihak yang terlibat.

“Tuntutan kumpulan pelajar yang dikenali sebagai “MJIIT Voices” telah mendapat maklum balas dan sedang diperhalusi pihak UTM sejak isu diketengahkan melalui surat rasmi dan kenyataan media.

"Pertemuan dengan pelajar juga diadakan dan perbincangan tersebut termasuklah MJIIT berautonomi penuh dari segi tadbir urus dan kewangan sejak 26 Mei 2010 dan kos sebenar mengikuti pengajian tanpa subsidi di MJIIT ialah RM79,868 untuk empat tahun atau lapan semester.

“Namun, pihak universiti bersetuju menanggung 49 peratus daripada yuran berkenaan sekali gus mengurangkan yuran dikenakan kepada pelajar MJIIT kepada RM40,000 untuk empat tahun atau lapan semester," katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Peningkatan kos punca yuran UTM naik

Menurut kenyataan itu lagi, UTM juga mengambil beberapa langkah termasuk memberi kelonggaran kepada pelajar terbabit untuk menukar kursus atau fakulti.

Artikel Berkaitan:

“Bagi meringankan beban pelajar, UTM sedia membantu dan membuka ruang kepada pelajar dalam penukaran kursus atau fakulti.

"Bagaimanapun sehingga kini hanya dua pelajar yang membuat permohonan dan bukan dalam kalangan pelajar yang membuat demonstrasi (di Parlimen kelmarin)," katanya.

Semalam, sekumpulan mahasiswa MJIIT mengadakan perhimpunan aman di pintu masuk bangunan Parlimen sebagai protes terhadap isu kenaikan yuran dari RM945 hingga RM5,000 bagi setiap semester di pusat pengajian itu.

Sekumpulan pelajar yang terlibat itu turut menggesa campur tangan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.