X

Kindly register in order to view this article
!

Erdogan ikrar teruskan operasi ketenteraan di Syria

Penduduk puak Kurdish melarikan diri selepas Turki meningkatkan operasi ketenteraan mereka di timur laut Syria semalam. - Foto: AFP
A
A

ANKARA - 'Kami tidak akan hentikan operasi ini! Tidak kira apa orang lain cakap tentangnya.'

Kenyataan itu dikeluarkan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan semalam selepas negara antarabangsa mula menyuarakan bantahan terhadap keputusan dibuat Ankara susulan Amerika Syarikat memanggil pulang pasukan tenteranya pada awal minggu lalu.

Erdogan juga berikrar akan meneruskan operasi ketenteraan itu yang bertujuan untuk mewujudkan zon penampan di kawasan dikuasai Kurdish untuk penempatan semula kira-kira 3.6 juta pelarian yang kini tinggal di Ankara.

Menurutnya, operasi tersebut hanya menyasarkan kedudukan Kurdish dan mereka mengambil langkah untuk mengelakkan orang awam atau infrastruktur mereka turut menjadi sasaran.

Dianggarkan 100,000 penduduk di timur laut Syria telah melarikan diri sejak Turki meningkatkan operasi ketenteraan mereka ke atas pejuang Kurdish tanpa menghiraukan kritikan antarabangsa terhadap kempen tersebut yang dikhuatiri akan membangkitkan semula Daesh.

Pegawai bantuan memberi amaran negara bergolak itu mungkin akan berdepan satu lagi krisis kemanusiaan selepas beberapa laporan mendakwa operasi ketenteraan itu menyasarkan infrastruktur milik orang awam.

Jurucakap Pejabat Hak Asasi Manusia PBB, Rupert Colville memaklumkan sekurang-kurangnya tujuh orang awam termasuk seorang wanita dan kanak-kanak lelaki terkorban sejak Ankara melancarkan operasi rentas sempadan pada Rabu lalu.

"Kira-kira 400,000 penduduk di bandar Hassakah berdepan risiko tidak mendapat akses bekalan air bersih. Apa yang berlaku dalam tempoh sejak 40 jam lalu amat membimbangkan dan saya percaya ia akan mencetuskan satu lagi krisis kemanusiaan di Syria," kata jurucakap Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah, Christian Cardon de Lichtbuer yang bercakap tentang isu tersebut bersama Colville ketika sidang media di Geneva.

Menurut PBB, hanya sebuah hospital beroperasi di kawasan itu manakala pasar, sekolah dan klinik terus ditutup. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus