KWSP jamin tak jual PLUS kurang dari nilai pasaran

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memberi jaminan kepada pencarum bahawa pihaknya tidak akan menjual PLUS Malaysia Berhad (PLUS) kurang dari nilai pasaran semasa.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Alias berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan secepat mungkin dengan pihak kerajaan dan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) untuk memastikan sebarang resolusi akhir bagi melindungi kepentingan pencarum.

Menurutnya, KWSP berharap perkara ini akan menuju kepada konklusi yang memuaskan dan mengambil kira kebimbangan serta mengiktiraf nilai sebenar aset tersebut.

“Pihak KWSP mengambil perhatian mengenai keputusan yang dibuat kerajaan dan akan mengadakan perbincangan dengan pihak yang terlibat secepat mungkin.

“KWSP mengambil maklum tentang keputusan kerajaan untuk mengurangkan caj purata tol sebanyak 18 peratus di semua lebuh raya yang dimiliki oleh(PLUS) semasa pembentangan Belanjawan 2020 semalam,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, PLUS telah memberi sumbangan besar kepada KWSP.

“Sumbangan itu baik melalui pulangan kewangan mahupun faedah sosial dalam bentuk lebuh raya yang selamat, mudah dan selesa untuk ahli dan rakyat Malaysia,” katanya.

Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan rakyat kini boleh menikmati diskaun tol sebanyak 18 peratus secara purata di semua lebuh raya milik PLUS mulai tahun 2020.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, diskaun tol itu akan memberikan penjimatan kepada pengguna lebuh raya tersebut sehingga RM1,130 juta pada tahun 2020 dan RM43 bilion sepanjang baki tempoh konsesi sehingga 2038.

Katanya, jemaah menteri juga sedang menimbang kesemua cadangan termasuk daripada Khazanah untuk mengambil alih atau melupuskan semua saham PLUS.