KWSP bakal umum mekanisme wujud 350,000 peluang kerja

Lim Guan Eng - Foto Bernama
Lim Guan Eng - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kerajaan Pusat memberi kepercayaan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk mewujudkan satu mekanisme penyelesaian terbaik dalam memastikan sekurang-kurangnya 350,000 peluang pekerjaan dapat diwujudkan dalam tempoh lima tahun.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, mekanisme itu akan diumumkan KWSP kelak di mana ianya bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat menganggur terutama graduan, bahkan majikan menawarkan pekerjaan.

Menurutnya, kerajaan menyedari majikan tidak mampu menawarkan gaji tinggi kepada penganggur yang memerlukan pekerjaan.

"Namun, kerajaan juga tidak boleh membiarkan penawaran gaji terlalu rendah kepada pekerja kerana senario itu akan mengurangkan motivasi rakyat untuk bekerja.

"Justeru, kerajaan memikirkan inisiatif pemberian intensif bukan sahaja fokus kepada rakyat menganggur yang mendapat pekerjaan bahkan majikan.

"Bagi merealisasikan perkara ini, segala maklumat terperinci mengenai pelaksanaan mekanisme pemberian insentif akan diumumkan KWSP kelak,"katanya pada sidang akhbar di bangunan Parlimen hari ini.

Semalam, dalam Belanjawan 2020, Kerajaan Pusat memperuntukkan sebanyak RM6.5 bilion bagi inisiatif Malaysian@Kerja untuk mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik kepada belia dan wanita dalam tempoh lima tahun akan datang.

Guan Eng berkata, program itu dijangka akan mewujudkan tambahan peluang pekerjaan sebanyak 350,000 untuk rakyat di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Malaysia@Kerja dibahagikan kepada empat program iaitu Graduan@Kerja, Wanita@Kerja, Watan@Kerja dan Perantis@Kerja.

Sementara itu, Guan Eng berkata, langkah kerajaan menurunkan nilai ambang bagi kondominium dan pangsapuri di kawasan bandar daripada RM1 juta kepada RM600,000 untuk pemilikan asing hanya membabitkan hartanah tidak terjual sebelum ini.

Beliau berkata, langkah itu juga dijamin tidak melibatkan projek perumahan baharu dan unit kediaman bertanah pada masa hadapan.

Menurutnya, penurunan nilai ini juga bertujuan memberi suntikan kembali kepada ekonomi sekali gus membantu merancakkan sektor hartanah.

“Daripada berlaku lambakan kerana masyarakat tidak membeli, lebih baik hartanah tidak terjual itu dibuka kepada orang asing,” katanya.

Semalam dalam Belanjawan 2020, kerajaan mengumumkan akan menurunkan nilai ambang bagi kondominium dan pangsapuri di kawasan bandar daripada RM1 juta kepada RM600,000 untuk pemilikan asing.

Guan Eng berkata, langkah itu dilaksanakan bagi mengurangkan lambakan kondominium dan pangsapuri yang tidak terjual.

Lambakan itu dianggarkan berjumlah RM8.3 bilion pada suku kedua tahun 2019.