KPKT sokong pesalah vandalisme jalani khidmat masyarakat

No Image Caption
A
A
A
PUTRAJAYA - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), menyokong cadangan Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berhubung pesalah vandalisme dikenakan tindakan denda dan juga kerja komuniti.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, perkara berkenaan disebut beliau bahawa pentingnya pesalah bagi kesalahan seperti vandalisme atau membuang sampah merata-rata diberikan pengajaran yang sewajarnya supaya perkara sama tidak berulang.

“Pada Konvensyen Pemerkasaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang diadakan pada 10 hingga 11 Disember lalu, penegasan turut diberikan terhadap penguatkuasaan PBT bagi menjamin kelestarian komuniti dengan pelaksanaan undang-undang yang tegas dan efisien.

“KPKT menghargai pendapat masyarakat umum dalam menambah baik perkhidmatan dan memastikan usaha untuk mewujudkan komuniti dan generasi mampan tercapai dalam usaha untuk membangunkan komuniti secara holistik,” katanya.

Lee Lam Thye dalam kenyataannya berkata, pesalah vandalisme perlu diwajibkan menjalani program khidmat masyarakat sebagai langkah pemulihan yang berkesan sekali gus memupuk kesedaran sivik dalam diri individu berkenaan.
Artikel Berkaitan:


Langkah itu lebih berkesan bagi menimbulkan rasa takut dan malu dalam kalangan pelaku.

Menurutnya, walaupun vandalisme di Malaysia tidak begitu teruk seperti di kebanyakan negara Barat, tahap kerosakan yang dialami menyebabkan masalah semakin serius dan perlu ditangani secara berkesan.

Undang-undang kecil berkaitan vandalisme yang dikuatkuasakan pelbagai PBT tidak mencukupi bagi menangani masalah ini, justeru adalah wajar melaksanakan khidmat masyarakat.