Sila log masuk terlebih dahulu.

Guan Eng minta MCA lepaskan pegangan UTAR, KUTAR

Guan Eng (tengah) bergambar bersama pengamal media selepas sesi sidang media di bangunan Parlimen hari ini.
Guan Eng (tengah) bergambar bersama pengamal media selepas sesi sidang media di bangunan Parlimen hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan mengurangkan peruntukan tahunan kepada Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (KUTAR) menerusi Belanjawan 2020 bertujuan memastikan ada pemisahan antara pegangan parti politik dengan institusi pendidikan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pendirian itu juga senada dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang memberi pandangan sesebuah institusi pendidikan tidak sewajarnya dikawal oleh mana-mana parti politik di negara ini.

Selain itu, katanya, mana-mana institusi dikawal parti politik pula tidak berhak menerima dana awam bagi membantu pengurusan operasinya.

"Kawalan politik terhadap sebuah institusi pendidikan seperti UTAR dan KUTAR adalah tidak betul.

"Dr Mahathir bersetuju dengan saya bahawa kerajaan perlu memastikan ada pemisahan di antara parti politik dengan pendidikan.

"Jadi kepada MCA, saya minta anda melepaskan hak pegangan dalam UTAR dan KUTAR supaya kedua-dua institusi itu boleh menerima bantuan kewangan sepatutnya daripada kerajaan," katanya pada sidang akhbar di bangunan Parlimen.

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas dakwaan pemimpin MCA mempersoalkan tindakan kerajaan mengurangkan peruntukan tahunan untuk UTAR dan KUTAR kepada RM1 juta setahun dalam Belanjawan 2020.

Guan Eng turut meminta parti MCA melepaskan hak pegangan dalam kedua-dua institusi pendidikan swasta itu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kerajaan bersedia menyerahkan semula peruntukan keseluruhan berjumlah RM60 juta bagi tempoh tahun ini dan tahun 2020 kepada UTAR dan KUTAR sekiranya MCA melepaskan kepentingan mereka.

"Mengapa begitu sukar untuk MCA melepaskan hak kepentingan mereka dalam UTAR dan KUTAR?

"Adakah mereka lebih mengambil berat nasib tidak sampai 10 ahli-ahli lembaga pengarah terdiri pemimpin parti itu berbanding kepentingan ribuan pelajar di situ?

"Saya harap mereka mengambil iktibar terhadap apa berlaku membabitkan Koperasi Jayadiri Malaysia Berhad (Kojadi) yang terbabit dalam siasatan syarikat 1Malaysia Development Berhad(1MDB) dan memberi ruang pihak benar-benar profesional mentadbir UTAR dan KUTAR," katanya.