Peruntukan untuk peneroka Felda tidak menyeluruh

Naraza Muda
Naraza Muda
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan disifatkan tidak serius dalam mengimbangi dan membawa warga Felda ke arah kehidupan lebih baik melalui pembentangan Belanjawan 2020 kelmarin.

Presiden Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (Generasi), Naraza Muda berkata, walaupun peruntukan keseluruhan melalui pembentangan belanjawan itu berjumlah RM810 juta, namun ia tidak menggembirakan 112,635 peneroka serta dua juta warga Felda kerana diagih kepada lima kluster tertentu sahaja.

Bagi program meningkatkan pendapatan peneroka pula, katanya, hanya 11,600 peneroka sahaja yang terlibat sedangkan jumlah keseluruhan peneroka 112,635 orang dengan peruntukan RM250 juta.

"Kenapa hanya sebahagian kecil? Bagaimanakah dengan 101,035 peneroka lagi?

"Penghapusan kira faedah pinjaman peneroka dengan peruntukan RM300 juta juga menimbulkan pertanyaan. Adakah item hapus kira faedah pinjaman dari akaun pembangunan tanam semula atau akaun pinjaman sosial, baiki rumah dan pinjaman lain.

"Jika dari akaun pembangunan ladang peneroka, apakah penghapusan kira ini hanya melibatkan faedah 6.25 peratus yang dikenakan sebelum ini?" katanya.

Selain itu, Naraza berkata, tiada usaha penghapusan hutang peneroka yang mencecah RM7.5 bilion dan tiada peruntukan khusus untuk membantu peneroka menghadapi situasi pendapatan yang menguncup akibat

daripada harga sawit yang tidak stabil, berterusan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Artikel Berkaitan:

Lebih mengejutkan, katanya, kerajaan hanya memperuntukkan RM70 juta untuk perumahan generasi Felda bagi 2020, sedangkan isu itu sangat kritikal dengan anggaran RM1 bilion diperlukan.

"Peruntukan untuk menaik taraf jalan dan infrastruktur asas di kawasan Felda adalah perbelanjaan biasa dan tiada yang dapat dibanggakan," katanya.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya mengalu-alukan peruntukan RM100 juta untuk menyelesaikan isu bekalan air yang diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebagai penyelesaian masalah dihadapi sejak sekian lama di sesetengah tempat.