Pegawai TNI dipecat gara-gara komen negatif isteri

Kolonel Hendi Suhendi dipecat daripada TNI gara-gara tindakan isterinya memuat naik komen berbaur hinaan terhadap Menteri Keselamatan Indonesia yang ditikam di Banten Khamis lalu.
A
A

KENDARI - Seorang pegawai tinggi angkatan tentera Indonesia (TNI) dipecat gara-gara tindakan isterinya memuat naik komen berbaur hinaan berhubung insiden serangan ke atas Jeneral Wiranto.

Dalam kejadian Khamis lalu, Menteri Koordinasi Politik, Perundangan dan Hal Ehwal Keselamatan Indonesia itu cedera ditikam seorang lelaki semasa melakukan lawatan di bandar Pandeglang, Wilayah Banten.

Selain dipecat, Kolonel Hendi Suhendi turut ditahan selama 14 hari.

Tindakan tegas ke atas Hendi diputuskan selepas pasangannya, Irma Zulkifli Nasution didapati melanggar undang-undang dan disiplin tentera.

Difahamkan, Hendi yang pernah dihantar berkhidmat di Rusia baru dua bulan menjawat jawatan Komandan Tentera Daerah di Kendari, Sulawesi Tenggara.

Sementara itu, Hendi menerima hukuman tersebut dengan hati terbuka dan berharap ia menjadi pengajaran kepada pegawai lain.

"Saya mengaku salah dan terima apa saja keputusan yang diputuskan kepimpinan tertinggi TNI," katanya.

Komen isterinya, 'Jangan cemen pak, kejadianmu tak sebanding dengan berjuta nyawa melayang' tular di media sosial.

Ia mencetuskan kemarahan netizen kerana status tersebut turut disertakan emoji ketawa. - Agensi