Maritim tahan sembilan Pati cuba seludup masuk

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MELAKA- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sembilan pendatang asing tanpa izin (Pati) termasuk pasangan suami isteri yang cuba menyeludup masuk ke negara ini melalui jalan tidak diwartakan di persisir pantai Telok Gong di sini, awal pagi semalam.

Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan Kapten Maritim Amran Daud berkata mereka yang ditahan terdiri tujuh lelaki dan seorang wanita warga Indonesia serta seorang lelaki warga Bangladesh berusia antara 25 hingga 58 tahun di kedudukan kira-kira 0.1 batu nautika dari pesisir pantai Teluk Gong dalam operasi kira-kira 2.30 pagi semalam.

"Berdasarkan maklumat awal, wanita Indonesia dan lelaki Bangladesh yang masing-masing berusia 26 tahun itu ialah pasangan suami isteri dan mereka disyaki cuba menyeludup masuk bersama Pati yang lain menggunakan sebuah bot yang dikesan berada dalam keadaan mencurigakan.

"Bot berkenaan yang disyaki digunakan untuk mendaratkan Pati di laluan yang tidak diwartakan itu bagaimanapun bertindak memecut laju apabila menyedari kehadiran pihak Maritim di kawasan tersebut," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata penahanan berkenaan berjaya dilakukan hasil risikan dan operasi bersama antara Maritim dan Polis Diraja Malaysia dan semua yang ditahan akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959.

Katanya Maritim akan terus meningkatkan operasi penguatkuasaan bersama jabatan serta agensi berkaitan dalam usaha meminimumkan aktiviti jenayah rentas sempadan dan kesalahan di Zon Maritim Malaysia khasnya di perairan Melaka dan Negeri Sembilan.

Beliau berkata orang ramai juga diminta menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah dan kecemasan yang berlaku di perairan Melaka dan Negeri Sembilan menerusi Pusat Operasi Maritim di talian 06-3876730 dan 999 yang beroperasi secara 24 jam.- Bernama

Artikel Berkaitan: