X

Kindly register in order to view this article
!

Guna kaedah COD jual dadah!

Kereta yang digunakan suspek untuk COD dadah sekitar Pasir Mas turut dirampas, selain 202 biji pil yaba dan eramin 5. (Gambar kecil: Azhari)
A
A

PASIR MAS - Taktik tiga pengedar dadah menggunakan kaedah Cash On Delivery (COD) untuk menjual bahan terlarang itu berjaya ditumpaskan oleh anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan semalam.

Ketiga-tiga suspek itu dicekup selepas anggota PGA Batalion 7 Kuantan berjaya menahan sebuah kereta jenis Perodua Viva di hadapan stesen minyak di Lemal di sini.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, siasatan awal mendapati sejurus menerima pesanan, suspek akan mengadakan pertemuan dengan pelanggan di tempat yang telah dijanjikan.

"Sebelum keluar menghantar pesanan, suspek akan membuat intipan terlebih dahulu bagi mengelakkan kegiatan haram ini dihidu anggota penguat kuasa," katanya.

Menurutnya, suspek didapati aktif tidak mengira waktu dan akan bergerak apabila menerima pesanan.

Beliau berkata, ketika serbuan dilakukan ketiga-tiga suspek cuba bertindak melarikan diri sejurus menyedari kehadiran anggota penguatkuasa.

"Bagaimanapun ketangkasan anggota PGA Batalion 7 Kuantan berjaya menggagalkan hasrat tersebut," katanya.

Azhari berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan membawa kepada penemuan 202 biji pil yaba dan dua biji pil eramin 5.

Katanya, selain itu PGA Batalion 7 Kuantan turut merampas wang tunai RM1,172 dipercayai hasil jualan dadah.

"Nilai keseluruhan rampasan dadah termasuk wang tunai dan kereta Perodua Viva berjumlah RM14,232.

"Dua daripada tiga suspek positif dadah jenis methamphetamine hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas mereka," katanya.

Tambahnya, kesemua suspek diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.