Wisma Putra fokus lahirkan diplomat bertaraf dunia

Saifuddin (tengah) menyempurnakan Majlis Perasmian Program Kempen Kesedaran Diabetes Mellitus (kencing manis) anjuran Panel Penasihat Klinik Kesihatan Indera Mahkota di sini hari ini.
Saifuddin (tengah) menyempurnakan Majlis Perasmian Program Kempen Kesedaran Diabetes Mellitus (kencing manis) anjuran Panel Penasihat Klinik Kesihatan Indera Mahkota di sini hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Program Pensarjanaan Diplomat dan meningkatkan keupayaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di pejabat perwakilan Malaysia di luar negara akan diberi tumpuan Wisma Putra melalui peruntukan Belanjawan 2020.

Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Program Pensarjanaan Diplomat sebagai salah satu usaha melahirkan diplomat negara bertaraf dunia yang bukan sahaja mahir dalam bidang diplomasi, malah sebagai pakar dalam pelbagai bidang lain yang berkaitan.

Menurutnya, bagi tujuan itu, Wisma Putra akan menyediakan bantuan kewangan kepada pegawai yang layak untuk melanjutkan pengajian secara separuh masa sama ada ke peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD) di universiti tempatan terpilih.

"Kita mengenal pasti empat bidang pengajian bagi program ini iaitu Pengajian China, Pengajian India, Pengajian Timur Tengah dan Pengajian Maritim.

"Kita akan beri tumpuan kepada empat bidang ini buat permulaan dan sekiranya perlu, bidang-bidang lain juga akan dipertimbangkan mengikut kesesuaian," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Kempen Kesedaran Diabetes Mellitus (kencing manis) anjuran Panel Penasihat Klinik Kesihatan Indera Mahkota di sini hari ini.

Saifuddin berkata, program itu akan dimulakan tahun depan dengan permulaan empat pegawai akan ditawarkan untuk mengikuti pengajian tersebut iaitu seorang bagi setiap bidang.

Pada pembentangan Belanjawan 2020 yang diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semalam, sebanyak RM817.8 juta akan diperuntukkan kepada Kementerian Luar Negeri iaitu peningkatan sebanyak RM29 juta atau 3.7 peratus berbanding diperuntukkan pada Belanjawan 2019.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu beliau berkata, keupayaan ICT di pejabat-pejabat perwakilan Malaysia juga perlu diberi perhatian dan ia akan dilaksanakan melalui peruntukan Belanjawan 2020 nanti.

Menurutnya, terdapat kira-kira 100 pejabat perwakilan di luar negara dan kebanyakan kelengkapan ICT sedia ada perlu dipertingkatkan dan perlu diganti.

Sementara itu, mengulas berhubung peruntukan RM60 juta melalui Belanjawan 2020 untuk mengatasi masalah kesesakan di Tambak Johor, Saifuddin berkata, ia satu komitmen kerajaan bagi mengatasi isu itu.

Menurutnya, penyelesaian bagi masalah itu perlu melibatkan peranan bersama Malaysia dan Singapura dan perkara itu antara agenda yang dibincangkan kedua-dua negara sebelum ini.

"Kita sudah memberikan komitmen melalui peruntukan bagi tujuan tersebut tahun depan bagi merancang kerja-kerja berkaitan untuk mengatasi masalah kesesakan di Tambak Johor terutama pada waktu puncak," katanya.