X

Kindly register in order to view this article
!

Kementerian Pengangkutan masih kompromi pemandu e-hailing

Siew Fook ketika merasmikan Stesen Komuter Nilai di sini hari ini.
A
A

NILAI - Kementerian Pengangkutan hanya akan berkompromi dengan pemandu e-hailing yang sedang melengkapkan syarat dan peraturan ditetapkan kerajaan susulan penguatkuasaannya hari ini.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, kementeriannya masih memberikan masa dan ruang secukupnya kepada pemandu yang sudah mengambil langkah mendapatkan Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) tetapi prosesnya belum selesai.

"Selagi mereka telah menduduki peperiksaan atau sudah ambil langkah PSV, kita tidak ada masalah. Walau mungkin ada proses belum selesai, kita masih beri peluang," katanya pada sidang media selepas selesai Majlis Perasmian Stesen Komuter Nilai di sini hari ini.

Mengulas lanjut Anthony berkata, pihaknya tidak akan melakukan operasi secara besar-besaran sempena penguatkuasaannya hari ini, namun menggunakan pendekatan penguatkuasaan secara berperingkat.

"Penguatkuasaan bermula tetapi tidak bermaksud anggota JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) pergi tahan setiap pemandu, setiap kereta sebaliknya kita akan buat penguatkuasaan secara berperingkat," katanya.

Terdahulu, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JPJ, Khairul Anuar Bachok berkata, JPJ akan mengambil tindakan tegas terhadap pemandu e-hailing yang tidak melengkapkan syarat dan peraturan ditetapkan kerajaan sebaik penguatkuasaan mula dilaksanakan.

Dalam perkembangan berlainan, Siew Fook menyeru golongan belia hadir ke Karnival Kerjaya dan Pendidikan 2019 yang berlangsung pada 19 dan 20 Oktober ini di Palm Mall, Seremban untuk merebut peluang kerjaya dalam bidang pengangkutan.

“Karnival ini buat julung kalinya diadakan melibatkan 40 majikan dengan peluang pekerjaan sebanyak 4,000 melibatkan profesion kejuruteraan dalam pengangkutan termasuk di pelabuhan. Kita perlukan ramai anggota dan pegawai operasi untuk kawal pelabuhan dan kontena,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus