MPSJ tambah baik SOP tangkap anjing terbiar

Rakaman video yang tular sebelum ini.
Rakaman video yang tular sebelum ini.
A
A
A

SUBANG JAYA - Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) akan mengambil inisiatif bagi menambah baik prosedur operasi standard (SOP) berhubung langkah penangkapan anjing terbiar selepas ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, pihaknya juga akan memperkasakan latihan berkaitan dalam usaha untuk mempertingkatkan lagi sikap profesional dalam kalangan anggota semasa melaksanakan tugas di lapangan.

Beliau berkata, langkah ini bertujuan bagi mengelakkan situasi yang berlaku sebelum ini berulang pada masa hadapan.

"Lanjutan daripada insiden tersebut, situasi itu tidak melemahkan semangat MPSJ untuk terus menangani permasalahan anjing terbiar di kawasan pentadbiran kami," katanya kepada Sinar Harian.

Terdahulu, satu rakaman video menunjukkan proses penangkapan anjing tular di media sosial pada 3 Oktober lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Permaisuri Selangor kesal tindakan tangkap anjing tak ikut prosedur

Kerajaan Selangor mohon maaf insiden tangkap anjing

Menerusi rakaman berdurasi 4 minit 13 saat itu, petugas MPSJ sedang menangkap seekor anjing secara kasar dan cuba dihalang oleh pasangan suami isteri yang mempersoalkan cara tangkapan haiwan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan Selangor menerusi Exconya, Ng Sze Han kemudian memohon maaf terhadap insiden penangkapan anjing yang tular itu.

Insiden tersebut turut mendapat perhatian Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman yang kesal dengan tindakan anggota MPSJ menangkap anjing terbiar yang tular di media sosial itu.

Baginda menzahirkan rasa dukacita kerana kejadian kejam seumpamanya masih berlaku dalam masyarakat meskipun banyak kempen kesedaran dilaksanakan membabitkan haiwan terbiar.

Mengulas lanjut, Azfarizal berkata, buat masa ini tiada mana-mana pihak yang membuat tuntutan anjing berkenaan termasuk pasangan suami isteri yang membantah penangkapan tersebut sebelum ini.

"Pemilik anjing diberi tempoh selama tujuh hari bagi membuat tuntutan semula dan sehingga kini tiada mana-mana pihak membuat tuntutan termasuk pasangan suami isteri tersebut.

"MPSJ memberi peluang kepada orang awam yang ingin membela anjing berkenaan dengan kadar RM10 serta kos makanan RM2 sehari dan perlu mematuhi syarat ditetapkan," katanya.

Tambah beliau buat masa ini, anjing itu ditempatkan di Pusat Kurungan Haiwan MPSJ dan menjalani pemeriksaan kesihatan yang dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor.

"Ia turut diasingkan bagi mengelakkan kecederaan disebabkan oleh anjing lain serta jangkitan penyakit. Malah sepanjang dalam kurungan anjing itu turut mendapat penjagaan yang baik serta diberi makan secukupnya," katanya kepada Sinar Harian.