Menyamar penguat kuasa Imigresen

A
A

PETALING JAYA - Tiga lelaki yang menyamar sebagai anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) ditahan dalam dua siri tangkapan berbeza yang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu menerusi aduan daripada seorang pemilik kedai mendakwa didatangi dua individu yang ingin melakukan pemeriksaan ke atas kakitangannya.

Beliau berkata, suspek berkenaan kemudiannya mengarahkan pekerja kedai terbabit menunggu di belakang kedai.

"Menerusi pemeriksaan kamera litar tertutup, pengadu mengatakan suspek terbabit dilihat mengambil wang bernilai RM5,120 daripada kaunter juruwang bersama tujuh kartun rokok pelbagai jenama.

"Kedua-dua lelaki tersebut memakai jaket dan topi berlogo imigresen.

"Suspek kemudiannya keluar dari kedai terbabit dan kemudian empat individu lelaki datang ke kedai itu bagi mengambil barangan seperti rokok dan pelbagai air minuman," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara barangan yang dirampas selepas penahanan suspek.  - Foto ihsan IPD PJ
Antara barangan yang dirampas selepas penahanan suspek. - Foto ihsan IPD PJ

Susulan itu, Mohd Zani berkata, anggota Bahagian Jenayah Berat (D9) IPD Petaling Jaya berjaya membuat tangkapan suspek pertama pada Khamis lalu di hadapan sebuah rumah berhampiran Jalan 3D Kampung Baru Subang.

Mohd Zani berkata, menerusi tangkapan kedua semalam, dua orang suspek berjaya ditahan berhampiran pusat membeli-belah Viva Homes berhampiran Jalan Loke Yew.

"Tangkapan tiga suspek berkenaan membawa kepada rampasan dua topi hitam berlogo imigresen, vest berlogo imigresen, sepasang gari dan sebuah teksi," katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 395/170 Kanun Keseksaan.