Belanjawan 2020 tidak abai golongan susah

 Aminuddin Harun
Aminuddin Harun
A
A
A

SEREMBAN - Belanjawan 2020 yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam disifatkan sebagai belanjawan menyeluruh dan komprehensif yang meliputi semua lapisan masyarakat.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, insentif yang diberikan khususnya kepada golongan susah tidak diabaikan menunjukkan keprihatinan kerajaan Persekutuan dalam membina semula negara.

"Petaninya, penternak, nelayan, orang di Felda, Felcra, Risda semua mendapat nikmat daripada perkara tersebut. Tidak lupa juga di kampung, bandar dan di desa termasuklah penjawat awam dengan kenaikan Kadar Bantuan Sara Hidup (COLA).

"Kita nampak bahawa pendidikan menjadi teras dalam belanjawan tersebut dan kita melihat inilah bajet yang komprehensif yang mana mereka yang susah diberikan keutamaan dengan penambahan insentif selain golongan yang menerima bantuan juga meningkat kali ini," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Aminuddin berkata, beliau yakin usaha-usaha tersebut bukan sahaja menguntungkan rakyat bahkan diyakini dapat memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Mengulas mengenai Belanjawan Negeri Sembilan yang akan dibentangkan pada 22 November ini, beliau berkata, kerajaan negeri memberi fokus kepada perkembangan ekonomi selain pelbagai insentif lain yang dapat mengurangkan kos kehidupan rakyat Negeri Sembilan.

"Kali ini kita memikirkan bagaimana untuk kita sentiasa memastikan ekonomi negeri ini terus bergerak dan menjadi salah satu negeri yang mempunyai potensi untuk dikembangkan.

"Sebagai contoh, insentif- insentif yang akan membangunkan lagi usahawan kita di samping memberikan bantuan dan keperluan kepada golongan sasar serta kemudahan-kemudahan kepada golongan yang memerlukan," katanya.

Artikel Berkaitan: