Lega harimau kumbang tidak muncul lagi

Ghazali (kiri) sebelum ini meninjau perangkap harimau kumbang yang dipasang Perhilitan. - Foto IMITS Bukit Besi
A
A

KUALA TERENGGANU – Harimau kumbang yang sebelum ini pernah muncul di sekitar Taman Harmoni, Bandar Al Mukhtafi Billah Shah, Bukit Besi, Dungun dipercayai sudah kembali semula ke hutan atau berpindah ke tempat lain.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, ini kerana haiwan tersebut tidak lagi kelihatan malah umpan diletakkan di dalam perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu tidak terusik.

“Perhilitan pasang dua perangkap, satu letak umpan ayam hidup manakala satu lagi arnab. Tapi sudah seminggu kita buat, tidak ada tanda-tanda harimau kumbang datang dan penduduk pun tak nampak kelibat dia.

“Kita harap harimau kumbang ini sudah kembali ke hutan atau pergi ke tempat lain kerana sumber makanan dia telah habis. Sebelum ini ada anjing liar, kucing dan arnab peliharaan penduduk tapi semua hilang dipercayai dimakannya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurut Ghazali, perkembangan terbaharu itu melegakan penduduk dan mereka kini menjalani rutin seharian seperti sedia kala termasuk aktiviti pada waktu malam seperti kelas mengaji yang sebelum ini dihentikan sementara kini kembali beroperasi.

Bagaimanapun katanya, penduduk masih diminta berhati-hati sehingga pihak berkuasa mengesahkan ancaman harimau kumbang berkenaan benar-benar sudah tiada.

“Penduduk masih bekerjasama dengan Perhilitan memantau perkembangan semasa harimau kumbang dan kita lega kerana haiwan ini sudah tidak kelihatan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kebimbangan penduduk di taman perumahan itu kerana sering melihat harimau kumbang di sekitar rumah mereka pada bulan lalu dan Perhilitan Terengganu bertindak memasang perangkap sejurus aduan dibuat.

Bagaimanapun haiwan itu masih belum berjaya ditangkap dan Perhilitan terus melakukan pemantauan.