Luqman Hakim meniti puncak

Luqman Hakim - Foto FB NFDP
Luqman Hakim - Foto FB NFDP
A
A
A

PENYERANG skuad Bawah 18 tahun (B-18) negara, Luqman Hakim Shamsudin menganggap pemilihannya dalam senarai 60 pemain bola sepak muda terbaik dunia sebagai suntikan semangat untuk lebih menyerlah pada masa depan.

Pemain berusia 17 tahun dari Kota Bharu, Kelantan itu berkata, dia berjanji akan terus berusaha lebih gigih kerana percaya hanya dengan kerja keras mampu membawanya pergi lebih jauh dalam arena bola sepak.

“Pengiktirafan ini adalah suatu yang amat berharga buat saya. Ini juga merupakan hadiah buat kedua ibu bapa saya dan jurulatih yang bersama saya sejak dulu sehingga kini. Ia juga hadiah kepada rakyat Malaysia yang sentiasa menyokong saya.

“Saya juga ingin ucapkan terima kasih kepada Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) di bawah seliaan Majlis Sukan Negara (MSN) yang telah menjadikan saya sebagaimana apa yang saya capai hari ini,” katanya hari ini.

Luqman Hakim antara lima pemain dari Asia yang berjaya menarik perhatian portal antarabangsa, The Guardian untuk disenaraikan dalam kelompok 60 pemain terbaik yang lahir pada tahun 2002.

Empat pemain lain termasuklah Jun Nishikawa (Cerezo Osaka, Jepun); Khasanov Mukhriddin (Parvoz, Tajikistan); Suphanat Muenta (Buriram United, Thailand) dan Jasurbek Jaloliddinov (Bunyodkor, Uzbekistan).

Menurut The Guardian, Luqman Hakim berpotensi menggantikan legenda bola sepak negara, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari.

Luqman Hakim mula mencetus sensasi apabila muncul penjaring terbanyak pada Kejuaraan Bawah 16 (B-16) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 sehingga penampilannya itu berjaya menarik minat beberapa kelab Jepun.

Artikel Berkaitan:

Bulan lalu, Luqman Hakim membuat keputusan menyertai kelab Belgium, K V Kortrijk yang dimiliki ahli perniagaan Malaysia, Tan Sri Vincent Tan, namun kontrak itu hanya akan dimeterai pada Mac tahun depan selepas Luqman Hakim berusia 18 tahun.

Sebelum menandatangani kontrak rasmi tersebut, Luqman Hakim akan berlatih bersama sebuah lagi kelab milik Vincent iaitu Cardiff City mulai Januari hingga Mac 2020.

Ketika ini, Luqman Hakim yang lahir daripada produk Akademi Mokhtar Dahari (AMD) bersama dua lagi pemain iaitu penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman dan Ahmad Zikri Mohd Khalili menjalani latihan dengan kelab Divisyen 1 Liga Jepun (J1), FC Tokyo.

Sebelum itu, Luqman Hakim bersama tiga lagi pemain iaitu Muhammad Firdaus Kaironnisam, Harith Haiqal Adam Afkar dan Ali Imran Sukari melalui ujian pemilihan bersama sebuah lagi kelab J1, Cerezo Osaka.