Kes pukau di JB: Polis minta orang ramai berhati-hati

Poster yang tular di media sosial dan aplikasi whatsApp baru-baru ini.
Poster yang tular di media sosial dan aplikasi whatsApp baru-baru ini.
A
A
A
JOHOR BAHRU - Polis menasihatkan orang ramai untuk sentiasa berhati-hati terutamanya ketika berurusan mengenai perihal kewangan dengan individu yang baharu dikenali.

Saranan itu diberikan berhubung penularan poster mengenai seorang wanita dikatakan mengamalkan ilmu 'pukau' yang masih bebas di bandar raya ini.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintendan Mohd Afzanizam Yahaya berkata, perkara itu belum disahihkan selain tidak menerima sebarang laporan berhubung kegiatan jenayah itu.

"Semakan dapati tiada sebarang laporan polis dibuat di JBS.

"Mengenai ini berita palsu ke, saya tidak pasti, kita kena semak kesahihan dengan mangsa dahulu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Afzanizam berkata, sekiranya ada sesiapa yang menjadi mangsa berhubung perkara ini, mereka dialu-alukan untuk membuat laporan bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat.

Sehubungan itu, katanya, sebagai langkah berjaga-jaga dan mengelakkan berlaku perkara tidak diingini, masyarakat harus sentiasa berhati-hati terutama ketika dengan orang yang tidak dikenali.

"Masyarakat hendaklah sentiasa berhati-hati dengan orang yang baharu dikenali atau orang luar (stranger). Perlu selidik latar belakang seseorang dan jangan mudah percaya.

"Jika perlu, buat semakan dengan pihak berwajib untuk menentukan kesahihannya," katanya.
Artikel Berkaitan:


Terdahulu, tular satu poster yang memaparkan wajah seorang wanita dipercayai mengamalkan ilmu pukau untuk mendapatkan wang. Wanita itu juga dikatakan berada dalam bandar raya ini.

Menurut poster tersebut, wanita dikenali sebagai Ziah itu didakwa telah mengambil ratusan ribu ringgit daripada mangsanya.