Kes simbah air panas, bapa diminta serah diri

Mangsa melecur di lengan, rusuk serta dada kanan.
Mangsa melecur di lengan, rusuk serta dada kanan.
A
A
A

GEORGETOWN- Seorang suspek yang juga bapa kepada kanak-kanak yang melecur akibat disimbah air panas di Flat Kampung Melayu, Air Itam diminta menyerah diri bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, polis sudah mengenal pasti lokasi lelaki berusia 41 tahun itu yang dikatakan melarikan diri selepas kejadian tersebut.

Menurutnya, lelaki itu dikesan kini berada di luar Pulau Pinang bersama isteri dan anak bongsunya.

"Kita minta bapa kepada mangsa supaya menyerah diri untuk kita dapatkan keterangan bagi membantu siasatan berhubung kes ini," katanya ketika ditemui tadi.

Dalam kejadian pada malam 27 Disember lalu, seorang kanak-kanak perempuan melecur di beberapa bahagian badannya dipercayai disimbah air panas oleh bapa kandungnya.

Mangsa berusia 8 tahun itu disimbah air panas selepas bapanya berang kerana makanan yang disediakan isterinya habis dimakan empat anaknya termasuk mangsa.

Akibat daripada itu, mangsa melecur di lengan, rusuk serta dada kanan. Dia kini dirawat di Hospital Pulau Pinang namun berada dalam keadaan stabil.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, suspek yang bekerja sebagai ejen jualan kad prabayar di sebuah pasaraya di Bayan Baru baru pulang daripada bekerja dan dalam keadaan lapar.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, suspek mendapati makanan yang disediakan isterinya telah dihabiskan lalu bertindak mengejutkan keempat-empat anaknya yang sedang tidur dan memukul mereka.

Selepas memarahi dan memukul mereka, suspek menyimbah semangkuk air panas dari mesin penapis air minuman ke arah mangsa.

Susulan daripada itu, suspek bersama isteri dan anak bongsunya telah melarikan diri kerana bimbang ditahan polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.