Belanjawan 2020: Kerajaan peruntuk RM564 juta tambah baik R&D

Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Parlimen hari ini.
 -Foto Bernama
Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Parlimen hari ini.
 -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM564 juta bagi menambah baik Kerangka Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) di negara ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM524 juta diagihkan kepada kementerian dan agensi bagi menggiatkan R&D dalam sektor awam.

"Selain itu, kerajaan juga memperuntukkan RM30 juta geran padanan R&D untuk menggalakkan kerjasama antara industri dan ahli akademik bagi meningkatkan nilai tambah dalam penggunaan minyak sawit di sektor hiliran terutamanya tocotrienol dalam produk farmaseutikal dan bahan api bio-jet.

"Kerajaan juga akan menyelaras R&D dengan menubuhkan Agensi Pengurusan Penyelidikan yang diperuntukkan RM10 juta bagi menguruskan sumber penyelidikan awam secara berpusat," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, kerajaan akan mengkomersialkan R&D dengan menubuhkan Pejabat Inovasi Sehenti dalam sektor awam untuk memanfaatkan harta intelek secara komersial bagi menggalakkan aktiviti R&D dan universiti penyelidikan, bermula dengan Universiti Malaya.

Beliau berkata, selain itu, pendapatan harta intelek daripada paten dan hak cipta perisian bagi aktiviti yang layak yang dibangunkan di negara ini akan diberi pengecualian cukai pendapatan bagi tempoh hingga 10 tahun berdasarkan konsep ‘Modified Nexus Approach’.

Sementara itu, menurutnya, sebanyak RM11 juta pula diperuntukkan melalui inisiatif Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan bagi menggalakkan lebih ramai pelajar ke bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). - Bernama

Artikel Berkaitan: