Belanjawan 2020: Peruntukan RM5.9 bilion bagi program TVET

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR -Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) menerima peruntukkan sebanyak RM5.9 bilion dalam Belanjawan 2020 berbanding RM5.7 bilion pada belanjawan lalu.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, jumlah tersebut termasuk RM50 juta melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) bagi membiayai kursus TVET yang dilaksanakan Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri (SSDC).

Menurutnya, ia memperkukuhkan lagi sinergi di antara sektor awam dan swasta menerusi peningkatan pembiayaan SSDC.

"Bagi menggalakkan kerjasama industri yang lebih oleh Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA), institusi ini dibenar menggunakan lebihan

hasil yang dijana daripada kursus TVET yang disediakan kepada industri.

"Ia merangkumi perbelanjaan seperti menaik taraf peralatan dan melantik tenaga pengajar daripada industri.

"Geran padanan berjumlah RM20 juta untuk menyokong kursus TVET yang direka khas untuk dilaksanakan dengan kerjasama industri," katanya pada Pembentangan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat hari ini.

Guan Eng berkata, kerajaan akan memperluaskan laluan kerjaya graduan TVET untuk melanjutkan pengajian dan mendapatkan pekerjaan.

Artikel Berkaitan:

Justeru menurutnya, Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) akan mula menawarkan kursus ijazah untuk pelatih yang menamatkan pengajian dari Kolej Vokasional pada tahun hadapan.

"Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) akan bekerjasama dengan industri untuk menyediakan latihan TVET yang dipadankan dengan pekerjaan bersesuaian.

"Bagi tujuan ini, kerajaan akan menyediakan RM30 juta untuk melatih lebih 3,000 belia daripada keluarga berpendapatan rendah," katanya.