JBPM sambut baik elaun khas RM200 sebulan

Hamdan Wahid
Hamdan Wahid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyambut baik peruntukan Elaun Khas Skim Perkhidmatan Bomba sebanyak RM200 sebulan.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, peruntukan itu akan meringankan beban seramai kira-kira 14,400 kakitangan bomba bagi berdepan kos sara hidup yang mencabar.

"Pada masa sama juga, ia menjadi elemen motivasi dan suntikan moral anggota untuk terus memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat bagi memastikan mereka mendapat perlindungan keselamatan nyawa serta harta benda.

"Kita menghargai semua lapisan masyarakat yang prihatin terhadap kebajikan dan keselamatan anggota yang bertugas selama ini," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Kementerian Kewangan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan ( KPKT) serta agensi pusat perkhidmatan awam yang mempertimbangkan permohonan elaun khas itu.

"Alhamdulillah, syukur ke hadrat ALLAH dengan izinNya. Terima kasih kepada pihak kerajaan kerana pertimbangkan permohonan yang kita perjuangkan sejak tahun 2015," katanya.

Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam pembentangan Belanjawan 2020 bertemakan Memacu Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama Ke Arah Kemakmuran Bersama di Parlimen mengumumkan Elaun Khas Skim Perkhidmatan Bomba sebanyak RM200 sebulan dengan peruntukan sebanyak RM35 juta bagi tahun 2020.

Artikel Berkaitan: