X

Kindly register in order to view this article
!

Belanjawan 2020 tumpu pembangunan Sabah, Sarawak

Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat hari ini.
 - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan Pakatan Harapan (PH) terus komited mengutamakan keperluan Sabah dan Sarawak melalui pelbagai peruntukan menerusi Belanjawan 2020 yang dibentangkan hari ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, Sabah dan Sarawak kekal sebagai negeri yang menerima perbelanjaan pembangunan tertinggi apabila masing-masing menerima peruntukan sebanyak RM5.2 bilion dan RM4.4 bilion tahun depan.

“Kerajaan Persekutuan berhasrat meningkatkan geran kewangan kepada Sabah dan Sarawak seperti mana yang diperuntukkan di bawah Perjanjian Malaysia 1963,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat hari ini.

Guan Eng berkata, kerajaan bercadang menggandakan pemberian khas tahunan di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan kepada Sabah dan Sarawak bermula tahun 2020.

Katanya, sejak 1969, pemberian khas sebanyak RM26.7 juta untuk Sabah dan RM16 juta untuk Sarawak, belum pernah disemak semula.

“Kerajaan bercadang untuk menggandakan kadar tersebut kepada RM53.4 juta untuk Sabah dan RM32 juta untuk Sarawak," katanya.

Beliau berkata, bagi menunjukkan keprihatinan dua negeri itu, kerajaan akan menggandakan lagi kadar pemberian khas sehingga RM106.8 juta untuk Sabah dan RM64 juta untuk Sarawak dalam tempoh lima tahun.

Tambah Guan Eng, bagi merapatkan jurang pendapatan di antara bandar dan luar bandar, kerajaan Persekutuan akan memperuntukkan kira-kira RM587 juta untuk Projek Bekalan Air Luar Bandar iaitu RM470 juta untuk Sabah dan Sarawak bagi memenuhi sasaran 99 peratus akses kepada air bersih.

“Kerajaan juga akan membelanjakan RM500 juta untuk Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar yang memberi manfaat kepada lebih 30,000 isi rumah luar bandar di mana majoriti penerima faedah tinggal di Sabah dan Sarawak.

“Bagi memastikan pembangunan luar bandar khususnya Sabah dan Sarawak mendapat barang keperluan asas seperti LPG dan petrol pada harga yang berpatutan, kerajaan akan memperuntukkan RM170 juta untuk membiayai kos pengangkutan dan pengedaran barang asas ke luar bandar," katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga komited untuk menyiapkan projek Lebuhraya Pan Borneo, di mana proses rasionalisasi kos setakat ini telah menghasilkan penjimatan sebanyak RM1.2 bilion dan mengurangkan kos projek kepada RM29 bilion.

“Penjimatan ini membolehkan perancangan kerajaan untuk projek lain bagi memacu pertumbuhan ekonomi termasuk di Sabah dan Sarawak seperti Lebuhraya Trans Borneo sepanjang 165 kilometer (km) yang menghubungkan Sabah dan Sarawak ke Kalimantan Timur.

“Antara komponen penting projek ini adalah pakej bernilai RM600 juta untuk 40 km Jalan Kalabakan-Serudong dan pembinaan Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) dan kuarters perumahan kerajaan.

“Satu lagi keutamaan pembangunan ialah jalan luar bandar dan jalan perhubungan desa, dengan peruntukan di Sabah sebanyak RM326 juta dan RM224 juta untuk Sarawak yang akan memberi faedah kepada 145,000 penduduk,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus