X

Kindly register in order to view this article
!

Rakyat gembira, hampir semua dapat sesuatu: PM

Dr Mahathir dan Guan Eng memegang dokumen Belanjawan 2020. Turut kelihatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan jemaah menteri pada pembentangan Belanjawan 2020 di Parlimen hari ini. - Foto ZAHID IZZANI
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yakin rakyat gembira dengan pembentangan Belanjawan 2020 yang diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng petang tadi.

“Nampak rakyat gembira. Hampir semua orang dapat sesuatu,” katanya pada sidang media selepas selesai pembentangan Belanjawan 2020 di Parlimen hari ini.

Dr Mahathir berkata, belanjawan tahun ini berjaya memberikan peruntukan tambahan hampir kepada semua pihak.

Tegasnya, kejayaan itu menunjukkan kedudukan kewangan negara masih kukuh.

“Saya berpendapat bahawa Menteri Kewangan telah menyediakan satu belanjawan yang mencerminkan kekukuhan pentadbiran negara,” katanya.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, ramai pihak berpendapat kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak berpengalaman dan tidak mungkin dapat mentadbir negara dengan baik.

Bagaimanapun beliau menegaskan, peruntukan tambahan diberikan membuktikan kerajaan ‘tidak berpengalaman’ PH mampu mentadbir negara dengan baik.

“Walaupun kita masih menghadapi masalah beban hutang tapi kita dapat juga tingkatkan ekonomi negara. Kita lihat tahun ini pertumbuhan sebanyak 4.7 peratus.

“Kita berpendapat pada tahun 2020 akan meningkat kepada 4.8 peratus. Ini bermakna pemerintahan masih berjalan dengan baik walaupun kita terpaksa membersihkan kerajaan tapi ia tidak bermakna bahawa kerajaan tak berjalan dengan baik,” katanya.

Belanjawan 2020 yang dibentangkan Guan Eng petang tadi membabitkan peruntukan berjumlah RM297 bilion dan tidak termasuk simpanan luar jangka RM2 bilion.

Tambah Ahli Parlimen Bagan itu, jumlah tersebut meningkat sebanyak RM19.5 bilion berbanding RM277.5 bilion pada belanjawan tahun lepas.

Menurutnya, ia tanpa mengambil kira peruntukan secara one-off (sekali) bagi bayaran balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan cukai pendapatan tertunggak.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!