X

Kindly register in order to view this article
!

Mat Redho intai emas Sukan SEA 2019

Mat Redho
A
A

ATLET sukan ekstrem negara, Mohd Redha Rozlan atau lebih dikenali dengan panggilan mesra Mat Redho optimis mampu meraih sekurang-kurangnya satu pingat emas daripada tiga acara disertai dalam sukan berhalangan pada Sukan SEA di Filipina penghujung bulan depan.

Anak jati Pantai Remis, Perak itu mengakui cabaran untuk meraih emas pada Sukan SEA adalah berbeza berbanding beberapa pertandingan antarabangsa yang pernah disertai sebelum ini.

"Saya baru sahaja kembali dari Singapore Ninja Fest 2019 dan alhamdulillah, saya dapat emas dan terus berlatih seperti biasa kerana ada pertandingan pada setiap minggu seperti di Kuala Lumpur, Langkawi dan itu merupakan sebahagian daripada persediaan saya ke Sukan SEA.

"Saingan pada Sukan SEA terutamanya untuk mendapatkan pingat emas adalah sukar berbanding beberapa kejohanan yang saya sertai dan Insya-ALLAH saya akan cuba buat yang terbaik," katanya baru-baru ini.

Mat Redho, 31, berkata, dia akan cuba mempertahankan kejuaraan buat kali kedua berturut-turut pada Liga Cabaran Ninja (NCL) 2019 di Australia hujung bulan ini.

Ditanya mengenai rakan sepelatih, Mat Redho berkata, dia menjalani latihan separuh masa bersama seorang lagi atlet sukan ekstrem, Mohd Saddam Mohd Pittli bagi mempertingkatkan skil individu dalam sukan berkenaan.

"Bahagian atas badan saya ketika ini agak baik, cuma saya kena berlatih lagi untuk memperbaiki bahagian bawah badan saya. Saya hanya merujuk kepada YouTube sahaja sekiranya ingin menambah pengetahuan mengenai sukan ekstrem," jelasnya.

Nama Mat Redho tular di laman sosial selepas menjadi rakyat Malaysia pertama yang memenangi NCL 2018 dengan menewaskan juara American Ninja Warrior, Jake Murray.

Filipina akan mempertandingkan enam acara pada Sukan SEA 2019 iaitu 100 meter (m) lelaki dan wanita dengan 10 halangan, 400m dengan 12 halangan, serta 5 kilometer (km) berganti-ganti dengan 20 halangan. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus