Jadikan merokok sebagai kesalahan syariah

Dr Muzaffar
Dr Muzaffar
A
A
A
SHAH ALAM - Kerajaan didesak memperuntukkan undang-undang khas dan menjadikan kegiatan merokok sebagai jenayah syariah bagi mengekang serta membasmi ketagihannya dalam kalangan masyarakat beragama Islam.

Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Dr Muzaffar Syah Mallow berkata, seksyen khusus undang-undang perlu diperkenal bagi memberi isyarat jelas serta peringatan kepada umat Islam mengenai bahaya dan kesalahan merokok.

Menurutnya, cadangan itu selaras dengan keadaan semasa dalam negara yang memberi tumpuan terhadap usaha memperkasa undang-undang syariah dan mahkamah syariah sekaligus inisiatif mengurangkan jumlah perokok di negara ini.

“Dalam usaha kerajaan wujudkan sebuah masyarakat sihat melalui pelbagai kempen serta pemantapan peruntukan undang-undang sedia ada, langkah dilihat lebih drastik perlu dipertimbang serta dilaksana dengan jadikan merokok sebagai kesalahan syariah.

“Bagi umat Islam, isu merokok ini perlu dipandang berat kerana sudah wujud fatwa jelas mengenai isu rokok dalam negara kita. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-37 pada 23 Mac 1995 memutuskan merokok haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudaratan,”katanya.

Beliau berkata, berdasarkan fatwa Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan itu jelas menunjukkan pengharaman rokok sudah lama dikeluarkan iaitu lebih 20 tahun lalu dan ia kekal hingga kini.

Menurutnya, walaupun terdapat pelbagai jenis kempen kesedaran dilaksana pihak jabatan agama, masjid-masjid serta surau mengenai perkara ini, namun ia dilihat masih tidak efektif untuk mengekang masalah ketagihan merokok dalam kalangan umat Islam.

Lebih membimbangkan lagi ialah masalah merokok ini juga dilihat mula menular ke kalangan generasi muda yang masih bersekolah.

“Fatwa pengharaman terbabit perlu dijana sebagai satu peruntukan undang-undang lebih jelas bagi mengekang umat Islam daripada terus merokok dengan mempertimbangkan menjadikan merokok sebagai salah satu jenayah syariah.
Artikel Berkaitan:


“Ini kerana tiada seksyen khusus mengenai kesalahan merokok dibawah akta jenayah syariah negeri-negeri ketika ini,”katanya.

Muzaffar berkata, untuk menjadikan merokok sebagai kesalahan syariah dalam negara mungkin mengambil masa yang lama kerana perkara berkaitan hal ehwal agama Islam terletak di bawah kuasa kerajaan negeri seperti termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Maka terpulanglah kepada setiap kerajaan negeri dalam negara kita untuk mempertimbangkan cadangan terbabit dengan teliti,”katanya lagi.