Belanjawan 2020: Diskaun tol 18 peratus

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rakyat kini boleh menikmati diskaun tol sebanyak 18 peratus secara purata di semua lebuh raya milik PLUS Malaysia Berhad mulai tahun 2020.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, diskaun tol itu akan memberikan penjimatan kepada pengguna lebuh raya tersebut sehingga RM1,130 juta pada tahun 2020 dan RM43 bilion sepanjang baki tempoh konsesi sehingga 2038.

Beliau berkata, jemaah menteri juga sedang menimbang kesemua cadangan termasuk daripada Khazanah Nasional Berhad untuk mengambil alih atau melupuskan semua saham PLUS Malaysia Berhad.

“Cadangan yang diterima hendaklah memberi impak positif fiskal dan tidak meningkatkan beban hutang dan bayaran khidmat hutang kerajaan," katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga telah meluluskan pengambilalihan empat lebuh raya Lembah Klang iaitu Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Sprint (Sprint) dan Terowong Smart (Smart).

"Pengambilalihan lebuh raya itu tidak akan membebankan kerajaan kerana kos pembiayaan, operasi dan penyelenggaraan akan dibiayai sepenuhnya melalui kutipan tol dan caj kesesakan tanpa memerlukan peruntukan daripada kerajaan.

“Jelas sekali, kerajaan menolak dasar kerajaan terdahulu yang 'menswastakan keuntungan dan merakyatkan kerugian',” katanya.

Menurutnya, pengenalan caj kesesakan pada waktu puncak dan waktu biasa diturunkan sehingga 30 peratus berbanding dengan kadar tol semasa serta percuma semasa waktu bukan puncak.

Artikel Berkaitan:

“Ia akan menjimatkan pengguna lebuh raya sehingga RM180 juta setahun atau RM2 bilion sehingga akhir hayat konsesi.

"Konsesi sedia ada tidak akan dilanjutkan dan akan tamat mengikut perjanjian konsesi sedia ada,” katanya.