Kerajaan nafi peruntukan Mara dikurangkan

Mara
Mara
A
A
A
PUTRAJAYA - Kerajaan sekali lagi menafikan dakwaan pemotongan 50 peratus peruntukan bagi Majlis Amanah Rakyat (Mara) dalam Belanjawan 2019 .

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata perbelanjaan biasiswa dan pinjaman pendidikan Mara dipindah kepada perbelanjaan pembangunan.

Tegasnya, jumlah peruntukan perbelanjaan mengurus dan pembangunan Mara kekal RM3.7 bilion pada tahun 2019.

“Adalah tidak benar tohmahan berniat jahat bahawa peruntukan pembangunan luar bandar diketepikan, seperti peruntukan Mara dikurangkan sebanyak separuh.

“Sebenarnya, perkara ini adalah ekoran perbelanjaan biasiswa dan pinjaman pendidikan Mara sebanyak RM2 bilion dipindah klasifikasi daripada perbelanjaan mengurus kepada perbelanjaan pembangunan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Minggu lalu, Guan Eng telah membuat penafian tersebut dan menepis dakwaan pengurangan itu mempunyai kaitan dengan hasrat kerajaan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Sebelum ini Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun akui terkejut dengan dakwaan dibuat pembangkang sambil menegaskan peruntukan untuk Mara pada 2019 adalah RM3.7 bilion dan RM1.3 bilion itu merupakan perbelanjaan mengurus sahaja.

Dalam pada itu, menurut Guan Eng, pihak tertentu dengan sengaja mengelirukan keadaan dengan membanding peruntukan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) sebanyak RM9.5 bilion pada tahun 2018 dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sebanyak RM8.4 bilion untuk tahun 2019.

Malah katanya, agensi lain yang terlibat dalam pembangunan luar bandar telah dinaikkan peruntukannya.
Artikel Berkaitan:


“Sebagai contoh, Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Peneraju) disediakan peruntukan RM 90 juta pada tahun 2018 ditingkatkan kepada RM210 juta untuk 2019 bagi membiayai program meningkatkan kemahiran belia Bumiputera terutamanya daripada isi rumah berpendapatan rendah.

“Program Peneraju untuk 2019 termasuk melahirkan lebih ramai profesional di kalangan huffaz. Di samping itu, peruntukan pembangunan Felda juga dinaikkan daripada RM160 juta dalam 2018 kepada RM260 juta untuk 2019 bagi membiayai projek menaiktaraf jalan dan penyediaan bekalan air di penempatan Felda,” katanya.