Jaringan digital berkualiti seluruh negara: Guan Eng

Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Parlimen hari ini. -Foto Bernama
Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Parlimen hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan membangunkan infrastruktur yang diperlukan bagi membentuk Digital Malaysia melalui pelaksanaan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) sepanjang tempoh lima tahun, yang akan menyediakan liputan berkelajuan tinggi komprehensif dan jaringan digital yang berkualiti, di seluruh negara termasuk kawasan luar bandar.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat hari ini berkata pelan ini akan melibatkan jumlah pelaburan sebanyak RM21.6 bilion, melalui kerjasama awam swasta.

“Kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) akan membiayai lebih separuh daripada pelaburan yang diperlukan, dengan pelaburan oleh sektor swasta dalam bidang telekomunikasi melalui geran padanan.

“Sebagai sebahagian daripada NFCP, kerajaan akan meningkatkan kesalinghubungan di kawasan pedalaman Malaysia, khususnya di Sabah dan Sarawak, bagi memastikan tiada pihak yang terpinggir dalam agenda digital negara. SKMM akan memperuntukkan RM250 juta untuk menyediakan akses jalur lebar melalui teknologi satelit,” katanya.

Lim berkata, kerajaan akan memperuntukkan RM210 juta untuk mempercepatkan infrastruktur digital di bangunan awam terutamanya sekolah dan kawasan berimpak tinggi seperti taman perindustrian di mana keutamaan akan diberikan kepada lokasi di negeri yang dapat memudahkan dan mempercepat pelaksanaan NFCP.

Katanya, kesungguhan melaksanakan NFCP adalah penting dalam memperkenalkan teknologi dan perkhidmatan 5G kepada rakyat, justeru bagi menggalakkan pembangunan teknologi oleh syarikat Malaysia dalam menghadapi gelombang perubahan 5G di seluruh dunia, yang 100 kali lebih pantas berbanding 4G, kerajaan akan memperkenalkan Geran Pembangunan Ekosistem 5G bernilai RM50 juta.

Selain itu, katanya, kerajaan juga akan memperuntukkan RM25 juta untuk menyediakan dana geran padanan secara bidaan, untuk menggalakkan lebih banyak projek perintis aplikasi digital bagi dron penghantar, kenderaan pandu sendiri, teknologi ‘blockchain’ serta produk dan perkhidmatan lain yang memanfaatkan pelaburan dalam infrastruktur gentian optik dan 5G.

“Kandungan digital boleh menjana nilai ekonomi, misalnya pendapatan industri permainan video dunia melebihi USD150 bilion pada masa ini adalah lebih tinggi berbanding gabungan hasil industri muzik dan filem, oleh itu, kerajaan akan memperuntukkan RM20 juta kepada Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) untuk memupuk jaguh tempatan dalam menghasilkan kandungan digital, khususnya dalam bidang yang sedang berkembang pesat seperti e-Permainan, animasi dan seni digital,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Lim berkata, bagi memastikan kemakmuran bersama dengan syarikat digital yang berjaya, kerajaan akan memperkenalkan konsep Tanggungjawab Sosial Digital (DSR) yang merupakan komitmen sektor perniagaan untuk meningkatkan keupayaan tenaga kerja masa depan dengan kemahiran digital, untuk masyarakat yang memerlukan.

“Untuk tujuan ini, sumbangan sektor swasta dalam aktiviti DSR akan diberikan potongan cukai,” katanya.

Tambahnya, dalam tempoh setahun ini, reformasi kawal selia oleh SKMM bagi Standard Mandatori Mengenai Harga Capaian (MSAP), telah berjaya mengurangkan harga jalur lebar sebanyak 49 peratus dan mencetuskan anjakan permintaan pengguna untuk rangkaian internet yang lebih pantas. -- Bernama