Ekonomi Malaysia kekal kukuh, KDNK 2020 dijangka tumbuh 4.8 peratus

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR- Prospek ekonomi Malaysia kekal kukuh walaupun terdapat peningkatan ketidaktentuan persekitaran luaran dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) benar negara dijangka tumbuh masing-masing 4.7 peratus dan 4.8 peratus pada 2019 dan 2020.

Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2020 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan, perkembangan tersebut dipacu oleh permintaan domestik yang berdaya tahan, terutamanya perbelanjaan isi rumah berikutan pasaran buruh yang stabil serta inflasi yang rendah.

"Ekonomi Malaysia disokong oleh asas yang kukuh, dijangka terus berdaya tahan meskipun berhadapan ketidaktentuan ekonomi global," demikian menurut laporan itu.

Perbelanjaan sektor swasta akan kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan dengan penggunaan dan pelaburan swasta masing-masing meningkat 6.9 peratus dan 2.1 peratus pada 2020 manakala perbelanjaan sektor awam dijangka kembali pulih berikutan peningkatan pelaburan.

Malah, pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi meningkatkan daya beli rakyat seperti pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 1 September, 2018 serta penyelarasan gaji minimum kepada RM1,100 pada 1 Januari tahun ini.

"Langkah tersebut bertujuan untuk memberi manfaat kepada rakyat khususnya kumpulan isi rumah B40.

"Insentif lain untuk membantu kumpulan B40 termasuk pengenalan skim MySalam pada 24 Januari lepas yang bertujuan untuk menyediakan perlindungan penjagaan kesihatan awam mampu bayar selain peningkatan Bantuan Sara Hidup (BSH) untuk manfaat golongan yang memerlukan," kata laporan itu.

Selain itu, kerajaan juga telah memperluas dan meningkatkan jaringan keselamatan sosial melalui pelaksanaan program seperti Skim Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri) yang mendapat sambutan positif daripada rakyat.

Artikel Berkaitan:

Dalam usaha memupuk elemen tadbir urus yang baik, berintegriti dan toleransi sifar terhadap rasuah dalam kalangan rakyat, kerajaan juga telah melancarkan Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 pada 29 Januari tahun ini.

Inisiatif itu bertepatan dengan usaha kerajaan untuk mencapai status negara maju dan dihormati, kata laporan tersebut.

Dari sudut penawaran, pertumbuhan dijangka lebih menyeluruh dengan semua sektor mencatat pertumbuhan positif.

Bagaimanapun, walaupun ekonomi dijangka berkembang, ketidaktentuan luaran boleh menjejaskan prospek pertumbuhan.

“Justeru, kerajaan akan melaksanakan beberapa langkah meminimumkan risiko dan memacu ekonomi dengan meningkatkan peluang ekonomi, memperkukuh modal insan, memastikan inklusiviti serta menambah baik institusi dan kewangan awam,” kata laporan itu.

Inisiatif strategik ini akan meletakkan asas bagi mencapai objektif Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 seterusnya dan membolehkan Malaysia muncul semula sebagai Harimau Asia. -Bernama