Belanjawan 2020: Penggunaan aset digital masih baharu, terhad

Pembentangan Belanjawan 2020 dalam Dewan Rakyat, hari ini. - Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
Pembentangan Belanjawan 2020 dalam Dewan Rakyat, hari ini. - Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Walaupun aset digital, iaitu mata wang dan token digital, telah mendapat perhatian meluas berikutan potensinya menggugat sistem kewangan, namun ia masih dianggap baharu dengan kadar penggunaan yang masih terhad di peringkat domestik and global.

Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2020 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, terdapat beberapa syarikat besar dan terkemuka dalam sektor utama telah mengorak langkah untuk menerima pakai beberapa jenis mata wang digital dalam operasi syarikat.

"Meskipun impak daripada penggunaan aset ini masih belum dirasai sepenuhnya, namun aset digital mungkin mempunyai peranan yang lebih besar dalam ekonomi atau hanya menjadi bahan koleksi eksklusif bergantung kepada hasil daripada penggunaannya.

"Justeru, pihak berkuasa di seluruh dunia akan terus memantau perkembangan aset ini untuk menerbitkan pelan tindakan bagi menangani isu dan cabaran yang berkaitan aset digital," kata laporan itu.

Dalam konteks Malaysia, pengawal selia kewangan iaitu Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah bekerjasama rapat dengan bertindak secara proaktif terhadap sektor yang sedang berkembang dan meneroka kaedah untuk memudah cara inovasi dalam pasaran tempatan di samping memastikan pelaksanaan langkah perlindungan yang diperlukan.

Laporan itu berkata, sehubungan itu, BNM dan SC sejak 2017 telah mengeluarkan beberapa kenyataan amaran kepada umum yang berurusan dengan aset digital serta mengambil tindakan pengawalseliaan terhadap sebarang tingkah laku mencurigakan atau menyalahi undang-undang.

Dari sudut perundangan, BNM pada Februari 2018 telah meminda Peraturan Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AML/CFT) untuk mata wang digital, dengan menambah Sektor 6 yang baharu untuk aset digital.

Sektor baharu ini menetapkan keperluan AML/CFT terhadap penyedia perkhidmatan aset digital di Malaysia manakala Perintah Pasaran Modal dan Perkhidmatan (Preskripsi Sekuriti) (Mata Wang Digital dan Token Digital) 2019 mula dikuatkuasakan pada Januari 2019, kata laporan itu.

Artikel Berkaitan:

Laporan itu berkata perintah pasaran modal ini menetapkan bahawa sebarang aset digital yang ditawarkan dalam bentuk pelaburan atau digunakan untuk kaedah pemerolehan dana dianggap sebagai sekuriti Malaysia.

Pihak SC kemudian meminda Garis Panduan Pasaran yang Diiktiraf untuk memasukkan keperluan pengawalseliaan bagi bursa aset digital (DAX) dan telah mendaftarkan tiga pengendali DAX di bawah garis panduan tersebut pada Mei 2019.

"Pengendali DAX tersebut telah diberi tempoh sembilan bulan untuk mematuhi panduan serta beroperasi sepenuhnya dan merupakan pengendali yang sah untuk perdagangan aset digital di Malaysia," kata laporan itu.

SC juga telah menerbitkan kertas perundingan awam mengenai tawaran syiling awal yang bertujuan memperkenalkan garis panduan rasmi dalam jangka terdekat.

Sungguhpun perkembangan pengawalseliaan masih berterusan, namun eksperimen/projek rintis yang signifikan telah dijalankan di peringkat tempatan terhadap penggunaan teknologi lejar teragih dalam konteks ekonomi yang lebih luas.

"inisiatif tersebut merangkumi Projek Castor SC terhadap pasaran tidak tersenarai dan atas kaunter; usaha BNM dengan sembilan bank untuk aplikasi pembiayaan perdagangan; projek rintis Bursa Malaysia ke atas Pinjaman dan Pembiayaan Sekuriti; serta usaha Kementerian Pendidikan untuk menubuhkan sebuah konsortium universiti bagi merekodkan dan mengesahkan sijil universiti pada lejar teragih. -Bernama