Boleh mandi malam, tapi jangan dua waktu ini...

Mandi malam
TIADA ayat al-Quran, hadis mahupun athar daripada para sahabat yang melarang mandi pada waktu malam. -Gambar hiasan
A
A

"JANGAN mandi malam, tak elok. Kalau nak mandi, sebelum maghrib atau mandi selepas jam 12 malam."

Kata-kata itu seringkali kita dengar daripada orang di sekeliling kita, bukan?

Namun, lazimnya kita akan 'memekakkan' telinga dan melanggar 'pantang' itu.

Ya, bagaimana untuk kita memenuhinya sedangkan pulang dari tempat kerja sahaja, langit sudah gelap menandakan masuknya waktu malam.

Apakah pandangan agama tentang perkara itu? Adakah memang ada nas yang melarang kita mandi pada waktu malam?

Sebelum menjawab persoalan itu, perlu kita fahami bahawa Islam amat menitikberatkan tentang kebersihan.

Bahkan, ALLAH SWT juga suka akan hamba-hamba-NYA yang bersih.

Hakikatnya, mandi merupakan salah satu daripada cara-cara untuk membersihkan diri.

Malah, ALLAH SWT juga memerintahkan hamba-hamba-NYA supaya mandi.

Firman ALLAH SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri (mengerjakannya) solat sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan berjunub (berhadas besar) - kecuali kamu hendak melintas sahaja - hingga kamu mandi (bersuci).” (Surah al-Nisa’, ayat 43)

Berbalik kepada persoalan larangan mandi pada waktu malam, sebenarnya, tiada ayat al-Quran, hadis dan athar daripada para sahabat yang melarang berbuat demikian.

Justeru, kita dibolehkan untuk mandi pada bila-bila masa sahaja yang kita mahu.

Pun begitu, terdapat beberapa pendapat dalam kalangan ahli ilmu tentang kemakruhan mandi ketika matahari hampir terbenam dan antara dua isyak (antara maghrib dan isyak).

Perkara itu jelas dinyatakan dalam kitab Mughni al-Muhtaj: “Dan adalah makruh memasukinya (tandas) ketika matahari hampir terbenam dan di antara dua isyak (antara maghrib dan isyak) kerana pada waktu itu syaitan berkeliaran.”

Sekalipun tiada larangan berkenaan, jangan sesekali kita abaikan nukilan ilmuan seperti yang dinyatakan tadi.

Sebaiknya, cuba elakkan diri kita daripada memasuki tandas pada dua waktu tersebut melainkan ketika berhajat.

(Sumber: Irsyad Al-Hadith Siri ke-188: Hukum Mandi Malam, Laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)