Prospek akaun semasa akan dipengaruhi permintaan global, domestik

Laporan Tinjauan Ekonomi 2020
Laporan Tinjauan Ekonomi 2020
A
A
A

KUALA LUMPUR - Prospek bagi akaun semasa pada masa hadapan akan dipengaruhi oleh permintaan global dan domestik serta harga komoditi, demikian menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2020 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan.

Menurut laporan itu, lebihan akaun semasa dijangka mengecil kepada RM29 bilion atau 1.9 peratus daripada pendapatan negara kasar (PNK) manakala lebihan akaun barangan diunjur berkurang kepada RM123.4 bilion dengan pertumbuhan import melebihi eksport.

Akaun perkhidmatan dijangka mencatatkan defisit lebih besar sebanyak RM25 bilion pada 2020 disebabkan oleh defisit dalam akaun pengangkutan dan perkhidmatan lain melebihi peningkatan lebihan dalam akaun perjalanan.

Lebihan dalam akaun perjalanan dijangka berjumlah RM27.1 bilion dipacu oleh peningkatan ketibaan pelancong yang melebihi perbelanjaan residen berkunjung ke luar negeri.

Secara keseluruhan, peningkatan eksport bersih barangan dan perkhidmatan pada 2019 dijangka menyumbang kepada peningkatan lebihan akaun semasa kepada RM43.4 bilion atau 2.9 peratus daripada PNK.

"Sektor luar Malaysia dijangka kekal berdaya saing meskipun terdapat ketidaktentuan berterusan dalam persekitaran global," kata laporan itu.

Menurut laporan itu, defisit akaun perkhidmatan diunjur meningkat kepada RM21.1 bilion berikutan penurunan lebihan akaun perjalanan yang mengimbangi defisit lebih rendah dalam akaun pengangkutan dan perkhidmatan lain.

Manakala, defisit dalam akaun pendapatan primer dijangka lebih rendah iaitu RM45.3 bilion disebabkan penurunan bayaran berakru kepada pelabur langsung asing di Malaysia melebihi pendapatan diterima oleh syarikat Malaysia yang melabur di luar negeri.

Artikel Berkaitan:

Kiriman wang oleh rakyat Malaysia di luar negeri dijangka berjumlah RM17.6 bilion.

Sementara itu, momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2019 dan 2020 dijangka kekal kukuh disokong oleh asas ekonomi yang teguh dan kepelbagaian struktur ekonomi meskipun ketidaktentuan persekitaran luaran semakin meningkat.

Permintaan domestik akan memacu pertumbuhan dengan sektor luar berkembang secara sederhana berikutan persekitaran global yang mencabar.

Meskipun ekonomi dijangka terus berdaya tahan, namun masih terdapat risiko prospek pertumbuhan yang rendah terutamanya disebabkan oleh pertumbuhan sederhana ekonomi global dan aktiviti perdagangan serta turun naik pasaran kewangan dan komoditi.

Justeru, pelbagai langkah akan diambil bagi mengekalkan momentum pertumbuhan dan memastikan kesejahteraan rakyat termasuk penerusan semula projek strategik serta peningkatan rantaian nilai menerusi teknologi 5G dan revolusi industri. -Bernama