Polis tahan 4 lelaki warga India belasah pemandu e-hailing

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MIRI – Polis telah menahan empat lelaki warga India yang membelasah seorang pemandu e-hailing sehingga cedera dalam kejadian yang berlaku berhampiran Del Mart Kedai 24 jam, Boulevard di sini pada pukul 1.15 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah berkata, kesemua suspek yang berusia 22 dan 26 tahun itu yang bekerja di sebuah kedai makan di sini telah ditahan pada hari yang sama berikutan laporan dibuat oleh mangsa seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun.

“Mangsa mengalami kecederaan di tangan kiri, kepala serta pipi dan menerima rawatan di Hospital Miri akibat dicederakan menggunakan botol arak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya kes disiasat di bawah seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Meng Seah berkata, mangsa telah dimasukkan ke wad bedah bagi merawat luka di lengan sebelah kiri dan menjahit otot lengan yang terkoyak akibat ditikam dengan botol pecah oleh suspek yang ketika kejadian berada di bawah pengaruh alkohol.

“Kejadian berpunca apabila mangsa meminta ganti rugi kos minyak daripada suspek yang pada mulanya memesan perkhidmatan mangsa tetapi tiba-tiba membatalkannya,” kata beliau. - Bernama

Artikel Berkaitan: