Belanda berpeluh jinakkan Ireland Utara

Depay berjaya menjaringkan dua gol dalam kemenangan 3-1 ke atas Ireland Utara awal pagi tadi.
A
A

TONGGAK pertahanan Belanda, Virgil van Dijk mengakui skuad The Oranje itu beraksi hambar walaupun berjaya mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas Ireland Utara dalam aksi Kelayakan Euro 2020 di Stadium De Kuip, awal pagi tadi.

Menurutnya, para pemain Belanda membiarkan pasukan pelawat menguasai perlawanan dan terpaksa berkerja keras sebelum dapat meraih tiga mata berharga di laman sendiri itu.

"Kami ditekan oleh Ireland terutama pada babak kedua. Mereka pantas menguasai perlawanan dan menjadikan kelemahan kami untuk menjaringkan gol.

"Namun, kami sedar perlu bersabar dan tenang untuk mencari gol. Kami tidak panik apabila ketinggalan dan berjaya menjaringkan gol kemenangan selepas itu.

"Akhirnya kualiti pasukan yang berjaya membezakan antara kami dan Ireland. Belanda layak untuk menang tetapi ia bukan perlawanan terbaik kami," katanya.

Dalam perlawanan itu, Belanda terlebih dahulu ketinggalan menerusi gol penyerang Ireland Utara, John Magennis pada minit ke-75.

The Oranje hanya melakar kebangkitan pada 10 minit terakhir perlawanan melalui jaringan Luuk de Jong dan Memphis Depay.

Kemenangan pasukan Ronald Koeman ini menjadikan persaingan merebut dua tiket ke Euro 2020 dalam Kumpulan C bertambah sengit dengan Belanda, Jerman dan Ireland Utara kini masing-masing mengumpul 12 mata.

"Kami perlu terus fokus jika benar mahu layak dan perlu meraih tiga mata penuh ketika menentang Belarus Isnin ini," katanya.