Kes penipuan, pecah amanah: 4 peguam beri keterangan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Empat daripada 21 peguam yang dicari berhubung kes penipuan dan pecah amanah dengan kerugian berjumlah jutaan ringgit tampil memberi keterangan di Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad berkata, keempat-empat mereka dibebaskan selepas keterangan direkodkan.

"Usaha mengesan peguam lain masih dijalankan. Berdasarkan maklumat, lima peguam dikesan berada di luar negara.

"Kita akan menggunakan saluran tertentu untuk mendapatkan maklumat selain bekerjasama dengan Jabatan Imigresen dan agensi lain yang wajar untuk membantu kita," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Peringkat Bukit Aman Anjuran Jabatan Pengurusan di Bukit Aman hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor.

3 Oktober lalu, JSJK Bukit Aman menyenaraikan 21 peguam diburu kerana disyaki terlibat dalam 39 kes penipuan dan pecah amanah dengan kerugian berjumlah RM30.4 juta.

Selain itu Mohd Zakaria berkata, pihaknya menahan 34 individu disyaki dipercayai terbabit dalam kegiatan ah long.

Artikel Berkaitan:

"Seramai 33 daripadanya dituduh di mahkamah manakala seorang lagi sedang menunggu arahan daripada timbalan pendakwa raya untuk tindakan seterusnya," katanya.