Faiza berniaga kerana ALLAH

FAIZA (kanan) bersama penerima sumbangan dalam program Bersamamu.
FAIZA (kanan) bersama penerima sumbangan dalam program Bersamamu.
A
A
A

"KITA hidup di atas dunia, apa yang ada bukan hak kita, tetapi hak ALLAH. Kita hanya mengurus sahaja. Jadi, kita ikhlas dan jujur untuk membantu."

Demikian kata-kata penuh makna diungkapkan Pengarah Urusan Syarikat Faiza Sdn Bhd, Faiza Bawumi Sayed Ahmad ketika ditemui di pejabatnya di Subang Jaya, Selangor, 9 September lalu.

Beliau merupakan ikon usahawan wanita berjaya dalam bidang produk makanan berjenama Faiza yang mengeluarkan pelbagai jenis beras, ketupat, mi, tepung garam, rempah, kicap, kunyit, rempah kari, rempah ikan dan tepung.

Anak kelahiran Kaherah, Mesir itu berkata, beliau bekerja niatnya hanya kerana ALLAH SWT dan pada masa sama membantu orang lain dan membayar zakat paling maksimum. Oleh yang demikian, dirinya telah memilih perniagaan yang halal supaya masyarakat boleh makan makanan yang bersih. Wanita hebat itu yakin, jika seseorang memiliki niat yang baik, ALLAH akan memudahkan segala urusan.

Seperti yang diketahui umum, Faiza telah merealisasikan hasratnya untuk membantu golongan yang memerlukan dengan menjadi penaja rancangan Bersamamu sejak 16 tahun lalu. Beliau bersyukur kerana terdapat dalam kalangan anak asnaf yang dibantu telah berjaya menyambung pelajaran ke universiti dan menjadi hafiz.

"Pengalaman Bersamamu mengajar saya, jika kita rasa susah, ada orang yang lebih susah. Saya memberi sumbangan bukan untuk bermegah atau menunjuk, tetapi diharapkan menjadi inspirasi kepada orang lain untuk membantu golongan yang memerlukan.

"Jika kita ada kemampuan, bantu mereka yang kurang berkemampuan. Jika kita sihat, bantu orang yang kurang sihat. Ada pelbagai cara kita boleh buat untuk membantu. Semua makhluk ALLAH mendapat rahmat ALLAH.

"Alhamdulillah, kita menjadi orang Islam. Kita boleh bantu doakan untuk rakan yang bukan Islam semoga diberi hidayah oleh ALLAH SWT. Hidayah itu bukan milik kita, tapi milik ALLAH,” ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Solat jemaah

Menelusuri sisi peribadi kehidupan wanita berpengaruh itu, Faiza bertemu jodoh seawal usia 16 tahun dengan Allahyarham Abu Bakar Ahmad yang ketika itu merupakan pelajar Malaysia di Mesir.

No Image Caption

Pada tahun 1964, beliau berhijrah mengikuti suaminya dengan membawa anak sulung, Dr Salwa yang ketika itu berusia empat tahun kembali ke tanah air. Mereka tinggal di Batu Pahat, Johor.

Meskipun suami Faiza bekerja sebagai kadi hingga menjadi hakim Mahkamah Syariah, namun beliau tidak betah duduk diam di rumah. Selain memasak, beliau suka menjahit dan berniaga bermula dengan memandu kereta, van hinggalah lori satu tan.

"Berbekalkan diploma dalam sulam-menyulam dan modal RM4, saya menjahit dan menjual sarung bantal. Saya juga menjual rempah cap Bunga Raya buatan sendiri pada tahun 1968. Berniaga perlu mula dari bawah. Jika terus naik, kita tidak tahu kesusahan dan masalah orang bekerja. Mudah kena tipu.

"Arwah suami membenarkan saya berniaga dengan syarat jaga suami, anak, kehormatan diri dan keluarga. Dia yakin saya boleh berniaga. Oleh itu, saya perlu bijak mengatur masa agar semua kerja di rumah dapat diselesaikan.

"Saya selalu tidur jam 10 malam dan bangun 3.30 pagi. Saya masak dan bawa bekal untuk keluar bekerja. Ke mana pun pergi, saya berhenti untuk solat berjemaah di surau. Dalam kehidupan kita, solat dan al-Quran jangan tinggal,” ujarnya.

Beliau menambah, al-Quran mesti ada di setiap rumah. Ia bukan untuk disimpan tetapi untuk dibaca. Jangan biarkan al-Quran berhabuk dan hanya baca pada bulan Ramadan. Amalkan membaca al-Quran walaupun sedikit secara konsisten setiap hari pada waktu subuh.

"Saya juga mengamalkan bacaan Surah al-Kahf pada hari Jumaat, Surah al-Mulk sebelum tidur dan Surah al-Waqiah selepas asar. Selepas solat, mohon kepada ALLAH untuk diberi kebahagiaan di dunia dan akhirat, tetapkan iman dan mati dalam husnul khatimah. Membaca al-Quran menjadi mudah jika dapat menghayati dan dibaca dengan betul. Kita juga perlu bersabar atas apa segala ujian. Bagi saya, semua ayat al-Quran dekat di hati kerana setiap masalah ada jawapannya.

"Sewaktu arwah suami masih ada, saya mengikut ke mana sahaja dia berceramah, seperti belangkas. Saya bekerja siang. Selepas maghrib, saya hantar anak ke tempat tuisyen dan ikut suami," kata wanita yang mempunyai tujuh anak, 34 cucu dan sembilan cicit ini.

Faiza dinobatkan sebagai Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2010/1431H atas kejayaan membina empayar syarikat beras terkemuka di tanah air. Syarikat Faiza mendapat pelbagai pengiktirafan termasuk anugerah Pembekal Beras Terbaik BERNAS pada Julai 2001.

Bermula dengan bisnes rempah ratus dari dapur, kemudian membuka kedai runcit di rumah pada tahun 1971. Kemudian beliau menghantar beras di seluruh Johor bagi memenuhi permintaan pelanggan.

"Dahulu berniaga untuk mendapatkan beras susah. Pada 1980, saya memohon lesen untuk jadi pembekal di Lembaga Padi dan Beras Negara. Alhamdulillah. Saya mendapat lesen pada tahun 1988," katanya.

Cabaran

Lumrah orang berniaga ada pasang surutnya. Begitu juga yang dialami Faiza. Perniagaannya pernah jatuh apabila ada pekerjanya yang 'mengambil' pelanggannya untuk membuat bisnes yang sama ketika ketiadaannya.

FAIZA (depan, dua dari kanan) turun padang untuk membantu golongan yang memerlukan.
FAIZA (depan, dua dari kanan) turun padang untuk membantu golongan yang memerlukan.

"Ketika itu juga, anak lelaki saya jatuh sakit dan dimasukkan hospital selama sebulan. Selepas itu, saya mengambil inisiatif bersama pemandu dan anak lelaki pergi ke seluruh Johor untuk memberitahu perkara sebenar kepada pelanggan. Alhamdulillah, perniagaan saya kembali naik dengan bantuan ALLAH," katanya.

Kisah pengalaman beliau menjadi usahawan diabadikan dalam buku bertajuk Bermula dengan RM4 yang ditulis oleh anak sulungnya, Dr Salwa. Buku tersebut dijangkakan dipasarkan pada akhir tahun ini bertujuan untuk memberi inspirasi kepada golongan wanita yang ingin berjaya dalam bidang perniagaan.

Sesunggunya, perkongsian Faiza bersama Sinar Islam boleh menjadi contoh kepada golongan wanita yang berusaha mencapai kejayaan hidup di dunia dan akhirat.