Pelajar hantar 'esei kosong' dapat markah tinggi

Eimi Haga menunjukkan esei yang ditulisnya menggunakan dakwat limunan. - Foto: BBC
Eimi Haga menunjukkan esei yang ditulisnya menggunakan dakwat limunan. - Foto: BBC
A
A
A

TOKYO - Seorang pelajar kelas sejarah ninja di Jepun yang menyerahkan 'esei kosong' memperoleh markah tinggi selepas profesornya mendapati ia ditulis menggunakan dakwat limunan.

Perkataan yang ditulis hanya kelihatan jelas selepas kertas tersebut dipanaskan di atas dapur gas.

Eimi Haga yang menggunakan teknik ninja dikenali sebagai 'aburidashi', menghabiskan masa berjam-jam merendam dan menghancurkan kacang soya bagi menghasilkan dakwat tersebut.

"Ia sesuatu yang saya pelajari melalui buku ketika saya kecil," kata Haga kepada BBC.

Gadis berusia 19 tahun itu mula berminat dengan ninja, ejen rahsia dan pembunuh zaman pertengahan Jepun sejak menonton rancangan animasi televisyen ketika kanak-kanak.

Selepas mendaftar di Universiti Mie, pelajar tahun pertama itu mengikuti kelas sejarah ninja dan diminta menulis tentang lawatan ke Muzium Ninja di Igaryu.

"Apabila profesor memberitahu akan memberi markah tinggi untuk kreativiti, saya mengambil keputusan untuk membuat esei saya lebih menyerlah.

"Akhirnya saya mendapat idea untuk menggunakan teknik 'aburidashi'.

Artikel Berkaitan:

Haga merendam kacang soya semalaman dan menghancurkannya sebelum memerahnya menggunakan kain.

Dia kemudian mencampurkan ekstrak soya itu dengan air dan mengambil masa dua jam untuk mendapatkan hasil terbaik sebelum mula menulis esei di atas kertas nipis menggunakan berus halus, setelah kering perkataan yang ditulis tidak kelihatan.

Untuk memastikan esei tersebut tidak dibuang ke dalam tong sampah, Haga menulis pesanan 'panaskan kertas' menggunakan dakwat normal. - Agensi