Seronok Pak Nil datang

Pak Nil (tengah) bersama 666 pelajar sekolah terbabit hari ini.
Pak Nil (tengah) bersama 666 pelajar sekolah terbabit hari ini.
A
A
A

KUANTAN- Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Badak di sini, teruja apabila melihat pengacara popular Datuk Aznil Nawawi atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Nil memberi kejutan pada hari pertama sesi persekolahan baharu hari ini.

Begitu juga dengan 128 murid tahun satu daripada 666 murid dilihat gembira kerana diraikan oleh Pak Nil pengacara selain dapat bersalaman serta merakam gambar bersama.

Pak Nil turut meluangkan masa hampir satu jam bersama murid sekolah berkenaan dengan melakukan pelbagai aktiviti termasuk memberi ucapan semangat kepada murid tahun satu yang berdebar dan malu untuk datang ke sekolah.

Aznil berkata, kunjungan ini adalah salah satu satu inisiatif Kementerian Pendidikan dan Yayasan Pesona yang diasaskannya.

Menurutnya, ia sebagai memenuhi matlamat yayasan itu untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan berhubung pembinaan sahsiah diri bersama pelajar-pelajar sekolah.

“Sehingga kini tiga sekolah sudah saya pergi iaitu semalam di SK Seberang Dungun dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Serai, Dungun, Terengganu manakala hari ini di SK Permatang Badak.

“Bersesuaian dengan Yayasan Pesona, kunjungan saya ke sekolah ini adalah untuk mengajak anak-anak untuk menikmati kegembiraan ke sekolah kerana di sini kita bukan hanya menimba ilmu, selain membina keyakinan diri,” katanya ketika ditemui pemberita di SK Permatang Badak hari ini.

Beliau juga menasihatkan murid supaya tidak takut mencuba perkara baik, sebaliknya setiap kejayaan dan kegagalan bermula dengan mencuba.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, pengacara yang sangat sinonim dengan program realiti Akademi Fantasia itu, berkata, beliau sangat teruja kerana berpeluang mendekati murid-murid di sekolah berkenaan terutamanya anak-anak berusia 7 tahun yang pertama kali ke sekolah.

“Seronok bila melihat wajah kegembiraan murid-murid. Mudah-mudahan perkongsian yang dilakukan memberi manfaat kepada mereka.

"Hari pertama bersekolah memberi pelbagai rasa kepada murid-murid terutama murid tahun satu. Jadi kita cuba suntikan kepada mereka bahawa sekolah adalah tempat yang menyeronokkan," katanya.

Menurutnya, tumpuan Yayasan Pesona ialah untuk membangunkan generasi muda dalam aspek berketrampilan, memiliki keyakinan diri, berani berkongsi pendapat dan akhirnya melahirkan seorang individu yang dihormati serta disegani.

Sementara itu, seorang murid tahun satu, Arsyad Mohd Asmadi, 7, berkata, dia teruja dapat bertemu dengan pengacara popular itu.

Menurutnya, sebelum ini dia hanya boleh melihat di televisyen sahaja, tetapi hari ini dapat melihat secara dekat.

“Memang saya suka Pak Nil... Mula-mula rasa takut nak pergi sekolah, lepas tengok Pak Nil, takut dah hilang," katanya.