Hukum wanita terlepas waktu solat kerana susukan anak

A
A

MENJAGA bayi dan anak yang masih kecil memerlukan kesabaran yang tinggi, apatah lagi jika mereka masih lagi menyusu dengan ibunya.

Setiap anak itu punya ragam masing-masing hinggakan ada yang langsung tidak mahu 'berpisah' walau sekejap dengan ibunya.

Ada pula bayi yang kadangkala sepanjang masa mahu 'berkepit' dengan ibunya dan enggan melepaskan susu badan.

Jika perkara itu berlaku ketika seorang ibu tersebut bersendirian menjaga anaknya, apakah hukumnya apabila wanita berkenaan menyusukan anak hingga terlepas waktu solat?

Sebelum menjawab persoalan tersebut, kita perlu fahami hukum asal orang yang meninggalkan solat tanpa sengaja.

Hukumya adalah tidak berdosa seperti diisyaratkan dalam hadis-hadis yang sahih dalam keadaan tertidur, budak kecil, orang gila, dipaksa, tersalah dan terlupa.

Apa yang perlu dilakukan adalah dengan menggantikan sahaja segera yang mungkin.

Dalam situasi di atas, boleh dibahagikan kepada dua keadaan.

Pertama, jika si anak boleh ditinggalkan sebentar seperti meletakkan di sisinya, kemudian solat seringkas yang mungkin tanpa meninggalkan perkara yang wajib dan rukun agar segera mendapatkan anaknya.

Hal itu berlaku sepertimana baginda Nabi Muhammad SAW dalam hadis sahih pernah meringkaskan solat ketika menjadi imam apabila terdengar tangisan bayi supaya si anak mendapatkan cepat ibunya.

Kedua, keadaan yang amat sukar iaitu seperti anak terdedah kepada bahaya atau seumpamanya, maka dibenarkan untuk menjamakkan solat seperti Zuhur dengan Asar atau Maghrib dan Isyak mengikut pandangan Imam Ahmad bin Hanbal tanpa mengqasarkannya iaitu solat secara sempurna digabungkan sahaja tanpa memendekkannya.

Itu adalah lebih baik daripada si ibu meninggalkan terus solat itu.

Jika kedua keadaan di atas itu pun sukar dilakukan, maka bolehlah si ibu solat dalam keadaan memegang bayinya ketika menyusu dengan pergerakan terhad.

Semoga ALLAH memberikan ganjaran sebanyaknya di atas kesusahan yang dilalui.

***Ustaz Mustafar Mohd Suki merupakan Fellow Pertubuhan Multaqa Asatizah & Duat (Murshid), pendakwah dan penulis.